ERRA Fazira pada sidang media Mood Republik KL Raya Fest 2016, minggu lalu. FOTO Rohanis Shukri
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Belum ada sebarang perbincangan membabitkan keluarga penyanyi dan pelakon popular, Erra Fazira dengan keluarga bekas juara Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir mengenai hubungan mereka yang terjalin sejak dua tahun lalu.

Erra, 42, ketika dihubungi berkata, dia bersama keluarganya belum lagi berbincang mengenai perkara itu.

"Di pihak kami, belum ada sebarang perbincangan. Kalau okay, baru boleh difikirkan langkah seterusnya. Jika tidak, saya anggap ia bukan jodoh.

"Kalau nak kata wujud perbincangan antara kedua-dua keluarga, memang belum ada,” katanya kepada Harian Metro.

Shahir, 28, sebelum ini mengeluarkan kenyataan hubungannya dengan Erra sudah mendapat restu keluarganya.

Terdahulu, Erra dalam kenyataannya kepada Harian Metro mengakui masih berkawan dengan Shahir walaupun mereka tidak pernah dilihat bersama dalam mana-mana majlis.

Ditanya mengenai kenyataan Shahir itu, Erra berkata, Shahir membuat tindakan yang betul kerana sebagai lelaki, dia lebih layak berbuat demikian.

“Sebagai wanita, tidak manis untuk saya jika terus bercakap mengenai perkara itu tanpa sebarang sokongan daripadanya. Apabila dia berkata demikian, sekurang-kurangnya masyarakat tidak memandang negatif terhadap saya.

"Kenyataan Shahir sama seperti yang saya katakan sebelum ini. Kami memang belum ada perancangan untuk bertunang atau berkahwin. Kalau ada sebarang perbincangan pun, itu mungkin antara dia dan keluarganya saja," katanya yang mengakui sudah mula mengenali hati budi Shahir sejak dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 2:46 PM