MANGSA maut selepas kereta dipandu bertembung lori. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

Chukai: Lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan lori di Kilometer 136 Jalan Kuala Terengganu Kuantan, dekat Kijal, semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, Mohd Rizal Shafie, 36, dari Kijal Kemaman meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori lima tan tanpa muatan.

Katanya, kemalangan itu turut menyebabkan dua kereta Perodua Myvi bergesel dengan kereta mangsa serta lori dipandu lelaki berusia 42 tahun.

"Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, pemandu lori dan pemandu serta penumpang Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 12:31 PM