Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Selepas 13 tahun kemunculan Finding Nemo, pastinya ramai menantikan kisah karakter lain terutama si ikan biru, Dory.

Menariknya, pengkisahan filem ini bermula enam bulan selepas filem pertama. Dalam sekuel ini, seperti biasa Dory masih mengalami masalah hilang ingatan.

Tapi tiba-tiba sahaja beberapa memori silam ketika dia muda dan bersama keluarganya kembali menerjah.

Selepas sedar dia terpisah daripada keluarga ketika kecil, Dory mahu mencari mereka dengan bantuan Marlin dan Nemo. Mereka mengembara ke California menuju Institut Hidupan Marin, lokasi di mana Dory dan keluarganya mula-mula terpisah.

Dari pengkisahan ini, penonton sebenarnya disajikan asas penceritaan hampir sama dengan filem pertama dulu, tapi bezanya pada premis filem.

Dulu penonton dibawa menjelajah ke lautan, kali ini ke pelbagai tempat dan lokasi menarik di daratan pula.

Jika anda peminat tegar filem ini, elemen lautan biru dan dasar laut lebih memukau pandangan berbanding babak daratan. Pun begitu, Finding Dory masih seronok dan beremosi untuk ditonton.

Seperkara lagi mengenai filem kali ini, penonton tidak dapat melihat rakan ikan lain sebab diperkenalkan beberapa karakter ikan baru yang mempunyai personaliti dan dialog unik.

Antara karakter baru yang mendapat perhatian, Hank, sotong kurita yang mempunyai kelebihan seni pertahanan diri Ninja.

Fokus utama pastinya pada watak Dory dilakon-suara oleh Ellen DeGeneres yang bijak bermain dengan pelbagai situasi komedi.

Secara keseluruhan, Pixar sebenarnya sudah hilang magis setiap kali menghasilkan filem animasi sekuel.

Bagi mereka yang belum pernah menonton filem pertama, mungkin anggap Finding Dory sebagai animasi terbaik dan jalan cerita menarik.

Tapi jujurnya, andai boleh dibandingkan, rasanya filem Finding Nemo jauh lebih baik di segi jalan cerita dan kepelbagaian karakter.

INFO

- FILEM: Finding Dory

- ARAHAN: Andrew Stanton

- PELAKON: Ellen DeGeneres, Ed O’Neill, Ty Burrell, Kaitlin Olson, Albert Brooks, Eugene Levy, Diane Keaton

- GENRE: Animasi

- TAYANGAN: 16 Jun 2016

- ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 5:11 AM