PROTON Perdana.
PENAMBAHBAIKAN dari segi estetik dan aerodinamik.
TAMPIL menawan.
PERUMAH lampu utama projektor HID.
LAMPU belakang LED.
RUANG yang luas.
TEMPAT duduk bahagian hadapan.
SAMBUNGAN USB.
SISTEM audio dan navigasi.
PEDAL penukaran gear belakang stereng bagi model Perdana 2.4L.
Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Segmen D kereta nasional menerusi model Proton Perdana akhirnya dilancarkan secara rasminya pada minggu lalu selepas sekian lama heboh diperkatakan di media sosial dan portal tempatan sejak beberapa bulan lalu.

Kali ini, Proton Perdana generasi keempat hadir dalam dua varian enjin iaitu 2.0 dan 2.4 liter dengan menampilkan kereta sedan eksekutif yang sofistikated dan bergaya.

Jentera yang dibina oleh Proton melalui kerjasama strategik bersama Honda Japan Ltd bawah inisiatif perkongsian platform dibangunkan menerusi model generasi kelapan Honda Accord.

Bagaimanapun, hanya platform dan rangkaian kuasa diambil daripada model Honda Accord, yang selebihnya adalah hasil tangan Proton sendiri.

Sebenarnya, kita perlu bangga dengan pengeluar kenderaan nasional itu. Ini kerana, mereka bertungkus-lumus menawarkan kenderaan segmen D paling murah jika dibandingkan dengan jenama lain.

Ia boleh dibanding harga jualan Proton Perdana 2.0L dengan Honda Accord 2.0L generasi terkini, ia dijual bermula RM141,100, Nissan Teana (RM137,000), Toyota Camry (RM154,900) dan Peugeot 508 (RM179,888).

Selain itu, jentera ini juga sudah diuji sepenuhnya untuk memastikan ketahanan dan kualiti yang terbaik kepada pelanggannya.

Dilihat pada bentuk luarannya, penampilannya tampak lebih mantap dengan penambahbaikan dari segi estetik dan aerodinamik untuk memenuhi keperluan pasaran ketika ini.

Imej luarannya diperkuatkan dengan perumah lampu utama projektor HID yang dihiasi jeriji ‘sayap’ tanda bagi jenama Proton.

Bahagian belakang pula menerima gabungan lampu belakang LED, kit badan dengan spoiler, selain tampak tegap selepas dipadankan rim aloi 17 inci.

Ruang kabinnya, tampak lebih selesa selepas menggunakan kerusi multi-kontur dan ruang kaki serta kepala yang luas.

Ia juga diperhalusi ciri terkini membabitkan stereng dengan butang pelbagai fungsi, skrin navigasi sesentuh, sistem audio skrin sesentuh dan penyaman udara dua zon.

Namun bagi varian 2.0 liter (L), ruang dalamannya diceriakan warna hitam, manakala gabungan beige (kuning air) serta hitam untuk 2.4 liter.

Tempat duduk varian 2.0L dibaluti dengan fabrik bersama kulit, manakala varian 2.4 pula dibalut dengan kulit sepenuhnya.

Varian tertinggi 2.4L juga menerima tempat duduk penumpang hadapan larasan berkuasa empat hala dan pedal penukar gear di stereng.

Pemanduannya dikatakan lebih mantap apabila menggunakan suspensi ‘wishbone’ bebas berganda di bahagian hadapan untuk meningkatkan daya cengkaman dan kestabilan lebih baik ketika membrek.

Sementara itu, rangkaian kuasanya menggunakan enjin 2.4 liter i-VTEC DOHC empat silinder bagi menghasilkan 178hp dengan tork setinggi 222Nm.

Bagi enjin 2.0L pula, ia menggunakan rangkaian kuasa SOHC empat silinder 16 injap yang menghasilkan 154hp serta tork mencatatkan 189Nm.

Malah, bakal pemilik Proton Perdana ini tidak perlu risau berhubung rangkaian kuasa itu kerana kedua-dua adalah milik Honda yang terbukti lasak serta terbaik.

Dari segi keselamatan, Proton Perdana baharu dilengkapi empat beg udara, ABS, EBD, ISOFIX, kamera undur, lampu utama automatik dan Electronic Stability Control (ESC) bagi varian 2.4L sahaja.

Ia didatangkan dengan enam warna iaitu merah, kelabu, perak, emas, hitam dan putih, selain ditawarkan jaminan lima tahun atau perbatuan sejauh 150,000 kilometer.

Proton Perdana mula diperkenalkan di pasaran Malaysia pada 1995 dan kini kira-kira 77,000 unit berada di jalan raya di negara ini.

Pandangan penulis ialah, Proton Perdana ini memiliki imej dan ciri yang baik, selain harga ditawarkan adalah mampu milik bagi mereka yang mahukan kereta segmen D.

INFO

PROTON PERDANA 2.0L

- Enjin: 1,997cc, empat silinder, 16 injap, SOHC

- Kuasa maksimum: 154hp pada 6,300rpm

- Tork maksimum: 189Nm pada 4,300rpm

- Transmisi: Lima kelajuan automatik

- Tangki petrol: 70 liter

- Harga Jualan Proton Perdana 2.0L:

• RM113,438 (Solid)

• RM113,888 (Metalik)

PROTON PERDANA 2.4L

- Enjin: 2,354cc, empat silinder, 16 injap, DOHC

- Kuasa maksimum: 178hp pada 6,500rpm

- Tork maksimum: 220Nm pada 4,300rpm

- Transmisi: Lima kelajuan automatik

- Tangki petrol: 70 liter

- Harga Jualan Proton Perdana 2.4L:

• RM138,438 (Solid)

• RM138,888 (Metalik)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 5:05 AM