HONDA RS150R.
TAMPAK garang dan bergaya.
BENTUK langsing.
METER LED.
Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Selepas Indonesia dan Vietnam, kini giliran Malaysia menjadi negara ketiga di seluruh Asia Tenggara dan Oceania yang melancarkan motosikal Honda RS150R.

Motosikal yang ditunggu-tunggu itu dipasang di kilang Boon Siew Honda, Batu Kawan, Pulau Pinang, adalah model sporty pertama jenama berkenaan di dalam kategori Cub menggunakan kapasiti enjin 150cc.

Padanan enjin DOHC enam kelajuan generasi baharu itu lebih berkuasa dan responsif selepas menggunakan sistem suntikan bahan api terancang serta dipadankan omboh ringan.

Selain itu, ia memberi kecekapan dan mesra alam sekitar serta pada masa sama, memberi kawalan gear enam kelajuan lebih lancar serta ditala untuk memberi kelajuan optimum.

Enjin DOHC 150cc satu silinder dengan sistem penyejukan cecair itu menyalurkan kuasa maksimum 15.6PS dengan tork setinggi 13.5Nm.

Motosikal seberat 123 kilogram itu dipadankan kerangka tiub berkembar yang mana kedua-dua bahagian roda hadapan serta belakang dilengkapi cakera brek untuk memberi prestasi hentian lebih baik.

Bagi model baharu itu, rekaannya diinspirasi daripada tiga faktor utama membabitkan bentuk agresif, muka dan lampu yang tajam serta rangka badan berlapis bagi memberi penampilan garang.

Ia juga tampak berbeza dengan padanan lampu LED untuk memberi prestasi yang sporty serta dilengkapi meter LED pertama dalam motosikal kategori Cub.

Bagi mereka yang berminat, RS150R ditawarkan dalam dua varian dan empat warna membabitkan merah, biru matte, hitam matte serta gaya corak grafik Repsol.

Jentera yang bakal menaikkan nama Honda dalam industri motosikal negara ini dijual pada harga bermula RM8,213.94 sehingga RM8,372.94 termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST). Bagaimanapun, RS150R akan mula dijual di semua pengedar sah bermula Ogos depan.

Sementara itu, Honda RS150R juga ditawarkan dengan edisi istimewa yang direka oleh produk lepasan jualan jenama Racing Boy.

INFO

- Enjin: 150cc, penyejuk cecair, enjin DOHC

- Kuasa maksimum: 15.6PS pada 9,000rpm

- Tork maksimum: 13.5Nm pada 6.500rpm

- Bentuk kerangka: Kerangka tiub berkembar

- Berat: 123 kilogram

- Tangki petrol: 4.5 liter

- Harga: Antara RM8,213.94 dan RM8,372.94

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 5:04 AM