AKSI ketika Aguero terjatuh diasak Muhammad Besic.

Manchester: Pengurus Manchester City Manuel Pellegrini mengakui agak mustahil untuk mengetahui berapa lama mangsa kecederaan ligamen lutut, Sergio Aguero terpaksa berehat apabila pemain bintang itu dikeluarkan selepas menang 1-0 ke atas Everton, awal pagi semalam.

Pemain kebangsaan Argentina itu, pendahulu penjaring gol terbanyak Liga Perdana Inggeris dengan 14 gol, terhencut-hencut pada minit kedua apabila lututnya cedera ketika cuba melarikan bola daripada dirampas Muhamed Besic.

Staf perubatan City menguji keadaan Aguero semalam untuk memastikan tahap kecederaan itu dan berapa lama pemain berusia 26 tahun itu terpaksa diketepikan.

Pellegrini sudah melupakan khidmat Aguero bagi perlawanan genting Liga Juara-Juara menentang AS Roma awal pagi Khamis ini ketika City perlu mengatasi keputusan CSKA Moscow menentang Bayern Munich untuk layak ke peringkat kalah mati.

“Ia bukan berita bagus, saya tidak fikir dia boleh bermain,” jelas Pellegrini.

“Kami perlu menunggu hasil ujian, yang pasti dia tidak akan bermain menentang Roma dan ia satu perlawanan penting. Mustahil mengetahui tempoh dia akan diketepikan.

“Dia mempunyai masalah dengan ligamen lututnya dan kami hanya akan mengetahui bagaimana serius keadaannya hari ini (semalam).

“Ia amat sukar jika anda berdepan masalah di ligamen dan pulih dalam beberapa hari. Sudah tentu ia satu masalah besar kerana Sergio berada dalam prestasi terbaik dan seorang pemain yang penting buat pasukan kami.”

Pendahulu Liga Perdana Chelsea kecundang 1-2 kepada Newcastle United di laman lawan sekali gus bermakna kemenangan City membolehkan mereka berada tiga mata di belakang kelab London itu.

Kemenangan ke atas Everton hadir menerusi sepakan penalti Yaya Toure pada minit ke-24 dan Pellegrini berkata, ia membuktikan mereka tidak hanya bergantung kepada Aguero.

“Sudah tentu saya sering berkata pasukan ini bukan hanya Sergio Aguero,” ujar Pellegrini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 7:46 AM