Sofyan Rizal Ishak

sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isu pemilikan rumah bukanlah satu perkara baru dalam kalangan rakyat di negara ini dan ia masih menjadi satu perkara yang tidak boleh diselesaikan sepenuhnya kerana harga hartanah yang tinggi serta tidak sepadan dengan keupayaan kewangan masing-masing.

Ketidakupayaan kewangan dalam pemilikan rumah bukan sahaja dilihat berlaku kepada golongan berpendapatan rendah, malah golongan berpendapatan sederhana atau lebih dikenali M40 yang memiliki pendapatan isi rumah antara RM3,000 hingga RM8,000.

Pengenalan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) oleh pihak kerajaan pada April lalu, dilihat menjadi platform terbaik kepada golongan M40 memiliki rumah memandangkan golongan pendapatan isi rumah ini kian meningkat.

Namun apakah kewujudan MyDeposit ini mampu menyelesaikan permasalahan dihadapi golongan M40 ini? Apakah inisiatif ini memerlukan mekanisme sokongan bagi memastikan pelaksanaan lebih berkesan pada masa depan?

Timbalan Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (Peham), Abdul Aziz Ahmad berkata, skim terbabit dilihat amat baik dalam membantu golongan M40 memulakan proses untuk memiliki rumah memandangkan deposit adalah perkara utama yang dihadapi golongan itu.

Menurutnya, golongan M40 perlu menggunakan platform itu dengan baik memandangkan tidak semua individu berpeluang mendapatkan pembiayaan terbabit kerana ia terhad.

“MyDeposit ini tiba pada masa tepat dalam keadaan ekonomi tidak menentu, ditambah pula harga hartanah yang dilihat agak tinggi,” katanya di sini, semalam.

Skim MyDeposit adalah program diumumkan dalam Bajet 2016 khusus membantu kelas pendapatan bawahan dan pertengahan dengan pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi daripada RM10,000 untuk membeli rumah pertama.

Beliau berkata, walaupun ia baik buat golongan M40 namun masih terdapat penambahbaikan perlu dilakukan terutama dari aspek penerangan kepada penjual iaitu pemaju, pemilik rumah (sub sale) dan perunding hartanah.

“Pada masa ini, kebanyakan pihak yang terbabit dalam penjualan hartanah termasuk perunding hartanah masih kabur mengenai mekanisme pelaksanaan skim ini sebagai contoh daripada aspek pengeluaran pembiayaan itu sendiri.

“Perkara ini penting kerana pihak penjual juga perlu jelas mengenai skim ini kerana kami turut berurusan secara tidak langsung dalam transaksi jual beli bakal pembeli rumah,” katanya,

Sementara itu, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diseru supaya mempromosikan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) secara lebih agresif kepada rakyat di negara ini.

Beliau berkata, orang ramai pada masa ini belum jelas mengenai butiran skim ini termasuk daripada aspek kewujudan dan syarat-syaratnya.

“Orang ramai perlu didedahkan dengan lebih banyak maklumat mengenai skim ini supaya bajet yang disediakan dapat digunakan orang ramai untuk membeli rumah,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan promosi itu dilihat agak kritikal dan amat penting untuk dilakukan bagi memastikan faedah dan manfaatnya sampai kepada rakyat.

“Bukan sahaja pembeli, pihak perbankan juga dilihat tidak jelas dengan skim ini. Oleh itu, pihak kerajaan perlu memberi perhatian serius penerangan kepada semua pihak,” katanya.

Sehingga bulan lalu, Jabatan Perumahan Negara, KPKT menerima 15,954 permohonan daripada pembeli yang berminat untuk memiliki rumah menerusi Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, hanya 3,609 pemohon mengisi borang lengkap dan sedang dipertimbangkan kelulusan manakala selebihnya masih belum mengemukakan dokumen diperlukan dan mengisi borang lengkap.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor adalah negeri yang mengemukakan permohonan tertinggi iaitu masing-masing 462 dan 941 individu dengan pelbagai latar belakang dan pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2016 @ 5:13 AM