LEONG (tengah) bersama Pengarah Eksekutif Kumpulan Mah Sing Berhad, Datuk Steven Ng Poh Seng (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing Berhad, Ng Chai Yong.
Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) giat menjalankan perbincangan dengan kerajaan bagi menjalin usaha sama untuk pembinaan lebih banyak kediaman mampu milik.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, buat masa ini perbincangan masih diteruskan untuk membangunkan tanah milik kerajaan di pelbagai lokasi.

“Kami positif untuk mengumumkan berita yang baik dalam usaha menjalin kerjasama dengan kerajaan berdasarkan prestasi kewangan kumpulan yang membanggakan,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kumpulan.

Buat masa ini, hanya satu projek yang terletak di Sabah dibangunkan secara kerjasama dengan kerajaan.

Menurutnya, selain kerjasama dengan pihak kerajaan, pihaknya juga turut mencari peluang menjalin kerjasama dengan pemilik tanah individu selain meninjau lokasi berpotensi untuk pemilikan tanah baru.

“Tanah umpama bahan mentah untuk kami dan pencarian tanah baru masih diteruskan. Kami memberi tumpuan kepada lokasi di Lembah Klang, Iskandar Malaysia, Pulau Pinang dan negeri lain yang memerlukan perumahan mampu milik dalam skala besar.

“Setakat ini, nilai bank tanah yang dimiliki merangkumi bil yang belum dilunaskan dan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM32.26 bilion yang mana jumlah ini mampu menampung pendapatan kumpulan sehingga tempoh lapan tahun,” katanya.

Tan berkata, pihaknya juga positif untuk mencapai jualan sehingga RM2.3 bilion tahun ini dengan peningkatan jualan pada separuh kedua 2016.

“Enam bulan pertama tahun ini menyaksikan pasaran yang sedikit perlahan dan memberi kesan kepada prestasi jualan kumpulan. Namun, kami yakin keadaan akan kembali pulih pada enam bulan berikutnya dan kami juga akan melancarkan lebih banyak projek baru dalam tempoh ini,” katanya.

Sehingga 30 April lalu, kumpulan mencatatkan jualan sebanyak RM536 juta. Untuk tempoh enam bulan pertama, kumpulan sudah melancarkan projek kediaman dengan nilai jualan sebanyak RM200 juta.

Sementara itu, Mah Sing dinobatkan sebagai penerima Sukuk Hibrid Korporat Terbaik bagi Anugerah Kewangan Islam Asset Triple A 2016, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2016 @ 5:12 AM