PENGUNJUNG juga perlu bersedia untuk berdepan persekitaran panas dan kering.
SUSUN atur landskap dan tumbuhan juga menarik perhatian pengunjung.
PELBAGAI jenis kaktus pasti anda temui.
TENTUNYA tumbuhan ini jarang anda temui ditempat lain.
Susunan Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Desert Botanical Gardens, Arizona, Amerika Syarikat, bukan sekadar taman botani biasa kerana pelbagai jenis tanaman bakal anda temui sebaik mengunjunginya.

Diasaskan Arizona Cactus and Native Flora Society pada 1937 dan pada 1939, keseluruhan taman botani ini dilitupi lebih 21,000 tanaman.

Satu pertiga daripada tanaman di taman ini termasuk 139 spesies yang jarang ditemui dan terancam.

Ia turut popular dalam kalangan pencinta landskap apabila taman ini turut terkenal kerana menawarkan koleksi tumbuhan gersang dari padang pasir seluruh dunia selain muncul antara terbaik dunia.

Biarpun ada banyak taman botani di Amerika Syarikat, Desert Botanical Gardens antara paling indah dan menarik perhatian.

Berada di taman itu membawa anda bagaikan mengembara dan mengenali pelbagai tumbuhan serta bunga-bungaan padang pasir.

Malah, pengunjung juga perlu bersedia untuk menghadapi keadaan kering dan panas dalam persekitaran taman yang luas selain dikelilingi batu-batuan merah.

Ia juga ditetapkan sebagai ‘Phoenix Point of Pride’ dan disenaraikan antara antara taman yang indah dengan keluasan 57 hektar.

Bagaimanapun, tumbuhan yang berasal dari iklim sederhana atau tidak terlalu panas ditempatkan pada ruang khas.

Lima laluan khas turut disediakan dalam menggambarkan pelbagai topik membabitkan pemuliharaan, hidupan padang pasir, tumbuhan gurun dan bunga liar di padang pasir.

Bagi memberikan kefahaman menyeluruh kepada pengunjung pelbagai ceramah dan bengkel diadakan.

Ia merangkumi landskap padang pasir dan hortikultur, seni botani dan ilustrasi, seni alam semula jadi dan fotografi, kesihatan serta kesejahteraan.

Selain dimeriahkan dengan pelbagai acara khusus, pameran bermusim, konsert, aktiviti keluarga, pilihan tempat menjamu selera dan kedai menjual tumbuhan dan cenderahati.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2016 @ 5:01 AM