Daily Mail

Sydney: Australia menggantung eksport haiwan ternakan kepada tiga pusat penyembelihan di Vietnam berikutan tersiarnya rakaman video pekerja pusat memukul kepala lembu menggunakan tukul besi hingga mati sebelum ternakan itu dilapah.

Video yang dirakam secara sulit oleh penyiasat Animals Australia itu menunjukkan lembu dipukul kepala beberapa kali dengan tukul besi sehingga tumbang dan selepas itu dipukul lagi sehingga mati.

ABC melaporkan, Menteri Pertanian Australia, Barnaby Joyce, yang menganggap video berkenaan sebagai amat kejam, berkata pusat penyembelihan di Vietnam itu tidak tersenarai dalam sistem Rangkaian Bekalan Pengeksport.

“Belum dapat disahkan sama ada lembu berkenaan dari Australia, namun kerajaan sudah menggantung semua eksport kepada pusat penyembelihan terbabit,” katanya.

Animals Australia melaporkan kejadian itu pada 9 Jun lalu, dan kementerian itu memulakan siasatan keesokannya serta sudah bertemu dengan pihak berkuasa Vietnam yang juga menyiasat dakwaan berkenaan.

“Saya sangka sudah melihat semua kekejaman terhadap haiwan, rupanya tidak semua.

“Pengeksport tahu mengenai kekejaman terhadap haiwan ini namun berterusan menghantar ternakan ke Vietnam,” kata Pengarah Kempen Animals Australia, Lyn White kepada ABC.

Pertubuhan itu mendakwa ia memiliki rakaman video lembu Australia dilapah hidup-hidup di pusat penyembelihan yang diluluskan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 6:10 PM
Petikan rakaman video menunjukkan pekerja membelasah kepala lembu dengan tukul besi.