KHAIRUL bersama Haziq dan Akmal berdepan laluan getir sebelum sah tiket Olimpik Rio.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Tradisi bersaing dalam acara berpasukan diteruskan skuad memanah negara apabila berjaya meraih satu tiket ke Olimpik Rio dalam kejohanan kelayakan berlangsung di Antalya, Turki semalam.

Malaysia mula meraih tiket acara berpasukan sejak Beijing 2008, empat tahun selepas kali pertama meraih tiket individu di Athens 2004, disusuli London 2012 dan kini edisi ketiga berturut-turut.

Pada kejohanan yang dilangsungkan serentak dengan siri Piala Dunia ketiga, trio negara yang diwakili Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Muhammad Akmal Nor Hasrin bagaimanapun berdepan laluan getir sebelum memastikan satu daripada tiga tiket akhir yang ditawarkan ke Rio itu.

Mereka memulakan saingan pusingan pertama dengan mengatasi saingan sengit Ukraine dengan keputusan akhir 4-4, namun aksi ‘shoot-off’ memihak kepada Malaysia walaupun terikat 27 mata (anak panah pemanah negara paling dekat dengan bulatan tengah) untuk memastikan kemenangan 5-4.

Ia pastinya memberikan kelegaan kepada anak buah jurulatih Lee Jae-hyung, namun trio negara sekali lagi terikat 4-4 apabila menentang India di suku akhir, sekali gus memaksa penentuan ‘shoot-off’.

Kali ini mereka memastikan kemaraan ke separuh akhir apabila tiga panahan dilakukan mengumpul 28 mata manakala India hanya 27.

Seteru di Asia Tenggara, Indonesia memberikan tamparan hebat kepada trio negara apabila mudah melakarkan kemenangan 6-0, memaksa Malaysia menanti aksi penentuan tempat ketiga untuk ke Olimpik Rio.

Peluang yang terhidang nyata tidak dipersia-siakan apabila pemanah negara memastikan tidak pulang dengan tangan kosong apabila melakarkan kemenangan 6-2 manakala dua lagi tiket diisi Indonesia dan Perancis.

Kejayaan ini bermakna Malaysia memastikan tiga wakil dalam acara individu dan berpasukan di Rio nanti selepas hanya meraih tiket individu tahun lalu menerusi Khairul Anuar.

Kontinjen Malaysia kini bertambah 26 atlet dengan golf masih berpotensi untuk turut layak ke Rio.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 9:25 AM