ARTIS tempatan teruja pinjamkan suara untuk filem aksi terkenal, Jurassic World versi bahasa Melayu.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Bukan mudah untuk menerbitkan sebuah filem alih bahasa. Sebenarnya, jika ditanya mana-mana penonton pun, rata-ratanya lebih menyukai dialog daripada filem asal.

Apabila dialih bahasa, tidak dinafikan ‘feel’ filem terbabit akan lari sedikit terutama jika lontaran dialog tidak kena dengan ekspresi pelakon asalnya.

Ia berbeza dengan filem animasi yang memang menggunakan lakonan suara. Ada teknik bagi memastikan penceritaan dan emosi itu lebih sampai walaupun menggunakan apa saja bahasa.

Inilah pengalaman beberapa pelakon popular tanah air yang meminjamkan suara untuk filem aksi terkenal, Jurassic World untuk versi bahasa Melayu.

Mereka turut menyifatkan lebih mencabar untuk melakonkan watak suara berbanding berada sendiri di set penggambaran.

Jurassic World yang ditayangkan tahun lalu menampilkan lakonan Chris Pratt sebagai Owen, Bryce Dallas Howard (Claire), Irrfan Khan (Masrani), Vincent D’Onofrio (Hoskins), Ty Simpkins (Gray), Nick Robinson (Zach), Jake Johnson (Lowery), Omar Sy (Barry), BD Wong (Dr Henry Wu) dan Lauren Lapkus (Vivian).

Antara pelakon tanah air yang meminjamkan suara mereka untuk Jurassic World versi bahasa Melayu ialah Hisyam Hamid yang membawa watak Owen, Nora Danish (Claire), Izzue Islam (Zach), Wafiy (Gray), Fahrin Ahmad (Hoskins), Bront Palarae (Masrani), Nabil Ahmad (Lowery), Faizal Ismail (Barry), Fara Fauzana (Vivian), Syazwan Zakariah (Dr Henry Wu), Raianna A Rahman (Karen), Akhmal Nazri (Jimmy Fallon), Shalma Ainaa (Zara) dan Abby Fana (juruhebah wanita).

Bront berkata, dia sudah lama mengidamkan untuk terbabit dalam lakonan sedemikian.

“Seronok pula apabila melihat pelakon lain mendapat peluang itu dan saya sendiri mahukannya sejak filem Frozen dialih ke bahasa Melayu tidak lama dulu.

“Akhirnya, tercapai juga impian saya itu dan lebih seronok ia membabitkan filem hebat seperti Jurassic World. Tidak dinafikan, filem itu sendiri begitu kuat dan dalam pada teruja, saya bimbang juga bagaimana hasilnya nanti,”katanya.

Menurut Bront, lakonan suara lebih mencabar berbanding berlakon sendiri di set penggambaran.

“Ingatkan boleh siap sekejap saja, tetapi rupa-rupanya mengambil masa berjam-jam juga untuk satu babak saja walaupun skripnya pendek,” katanya yang meminjamkan suara untuk watak Masrani.

Demikian juga yang dirasakan pelakon jelita, Nora Danish apabila buat pertama kalinya mendapat peluang berkenaan.

Melakonkan watak utama sebagai Claire, dia mengakui tanggungjawabnya sangat besar memandangkan watak itu muncul dalam hampir semua babak filem terbabit.

“Perasaan teruja itu sebenarnya lebih mengatasi rasa gementar. Maklumlah ini pertama kali saya terbabit dalam filem alih bahasa. Apatah lagi filem itu sendiri memang cukup popular dan saya mahu cuba berseronok sebaik mungkin di studio.

“Ternyata ia pengalaman yang baru dan cukup memberikan saya kepuasan kerana atmosferanya berbeza. Dikelilingi pula dengan pelakon lain yang hebat menjadikan suasana itu lebih meriah,” katanya.

Jurassic World yang diarahkan Colin Trevorrow adalah filem yang dinanti-nantikan tahun lalu dan ia berjaya mencatat kutipan pecah panggung dengan kutipan sebanyak RM6.5 bilion sekali gus menjadi filem kedua paling laris tahun lalu.

Ketua Jualan dan Pemasaran Affiliate HBO Asia Yasmin Zahid berkata, filem berkenaan dipilih berdasarkan kejayaannya mencatat kutipan tertinggi bukan saja di dunia tetapi juga di Malaysia.

“HBO bersama Astro akhirnya sepakat untuk memberikan nafas baru kepada filem itu dengan menampilkan suara selebriti tempatan kita. Bakal ditayangkan pada hari raya pertama nanti, pastinya ia dapat dinikmati penonton muda dan dewasa,” katanya.

Ia akan ditayangkan pada 6 Julai ini, jam 9 malam di saluran HBO (Astro 411) dan HBO HD (Astro 431).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 5:03 AM