WAN Abdul Bari Wan Abdul Khalid. FOTO arkib NSTP
Ardyhansah Amat
ardyhansah@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Pihak berkuasa di negeri ini belum menerima sebarang laporan berhubung dakwaan kes penculikan terbaru membabitkan empat rakyat Malaysia di selatan Filipina, dekat sini, hari ini.

Komander ESSCOM, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas laporan beberapa media Filipina berhubung kejadian tersebut.

"Setakat ini, kami belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut," katanya.

Berdasarkan laporan beberapa portal media Filipina, Ketua Polis Tawi-Tawi, Joselito Salidi berkata, empat rakyat Malaysia diculik sekumpulan individu tidak dikenali dan dibawa ke Sitangkai, Tawi-Tawi (Filipina) sebelum dihantar ke Sulu, pagi tadi.

Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut mengenai lokasi dan masa sebenar kejadian itu berlaku.

Sementara itu, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Fuzi Harun berkata, setakat ini tiada sebarang laporan kes orang hilang atau penculikan dilaporkan berlaku di perairan pantai timur Sabah seperti yang didakwa.

"Kami sedang melakukan siasatan termasuk menghubungi pihak berkuasa Filipina mengenai perkara tersebut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 1:30 PM