PENULIS bersama pasukan Fnatic.
OG muncul juara The Manila Major.
MALL of Asia Arena penuh dengan penonton.
Hazril Md Nor
Gen.y@hmetro.com.my


Berpeluang diterbangkan ke Manila oleh eGG Network untuk menyaksikan sendiri pusingan akhir kejohanan permainan taktikal dan strategi Dota 2 di Mall of Asia Arena, Pasay, Filipina berlangsung Sabtu hingga Ahad lalu, penulis akui industri sukan elektronik kini jauh maju.

The Manila Major mengumpulkan 16 pasukan dari seluruh dunia termasuk pasukan Malaysia, Fnatic yang mendapat jemputan khas untuk berentap merebut wang tunai terkumpul AS$3 juta (RM12,250,000).

Fnatic menunjukkan persembahan luar biasa namun langkah mereka terhenti apabila ditewaskan Newbee dan seterusnya meraih tempat keenam dengan membawa pulang wang tunai AS$202,500 (RM830,000).

Pemain Fnatic, Adam Erwann Shah atau lebih dikenali sebagai 343 berkata, kekalahan pasukan disebabkan kurangnya komunikasi dan kesilapan kecil.

“Walaupun tak berjaya ke peringkat tiga teratas, prestasi kami setakat ini masih konsisten kerana memperoleh tempat keenam seperti kedudukan di kejohanan The Shanghai Major sebelum ini.

“Saya sendiri akui, Newbee sememangnya kuat dan mereka mahir menggunakan semua hero. Malah, terdapat kesilapan kecil daripada pihak kami yang tidak menjang­kakan ia mampu beri kesan kepada perlawanan secara menyeluruh,” katanya.

Tidak terus dibelenggu rasa kecewa dan putus asa, Adam ternyata positif memikirkan masa depan Fnatic menempuhi perlawanan akan datang yang lebih mencabar dan perlu diberi fokus utama.

Dia bersama empat lagi ahli iaitu Chai Yee Fung (Mushi), Yeik Nai Zhen (MidOne), Khoo Chong Xin (Ohaiyo) dan Djardel Jicko Mampusti (DJ) kini dalam persiapan awal untuk menghadapi The International 2016, kejohanan tahunan Dota 2 yang diadakan pada Ogos depan di Seattle, Washington, Amerika Syarikat.

“The International 2016 makin hampir dan mungkin inilah peluang untuk kami buktikan yang terbaik menebus kekalahan di Manila.

“Sebulan dari sekarang, debarannya memang terasa. Apatah lagi Fnatic akan bertembung dengan pasukan yang sama. Tapi, kami akan cuba beri persembahan terbaik untuk harumkan nama negara,” katanya dengan penuh harapan.

Berkongsi sedikit pengalaman sebagai pemain veteran, Adam berkata, industri sukan elektronik di Malaysia kini makin maju n dan punya potensi untuk berkembang.

“Mungkin kerana kejayaan pasukan tempatan (Fnatic) di peringkat antarabangsa, ramai pihak mula beri perhatian. Bagi saya, baguslah begitu kerana ia mampu menarik lebih ramai penaja dan organisasi memandang serius pada lapangan ini.

“Jika kita perhatikan sendiri, hadiah wang tunai makin meningkat dan itu salah satu faktor menarik minat ramai anak muda untuk terus bermain,” katanya.

Adam berkata, keadaan sudah berubah apabila kejayaan dalam Dota 2 bukan terletak dalam tangan pemain veteran tapi juga anak muda.

“Dulunya keadaan mungkin begitu, tapi sekarang semua berubah. Pemain muda diperlukan untuk melengkapkan ‘kuasa’ kumpulan itu sendiri.

“Kita perlukan seseorang yang boleh berikan idea baru dalam dunia Dota 2 dan itu semua hadir dari kotak pemikiran pemain baru lebih muda,” katanya.

Dalam perkembangan lain, OG muncul juara The Manila Major dan membawa pulang wang tunai AS$1.11 juta (RM4.08 juta). Pencapaian ini meletakkan OG sebagai pasukan pertama memenangi kejohanan Major Dota 2 berturut-turut selepas meraih tempat pertama untuk The Franfkurt Major di Jerman, November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 11:37 AM