THE Aduqa Band tak ralat kurang dikenali, mahu lebih fokus perjuang rock moden dan balada.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Berbeza dengan single terdahulu, The Aduqa Band mahu muzik mereka lebih dikenali menerusi single kedua berjudul Aku Tersakiti.

Dianggotai Hairil selaku vokalis, Qiqi (bass), Rongak (gitar), Fatah (gitar) dan Amat (dram), Aku Tersakiti menyerlahkan sisi sebenar pencinta muzik rock moden dan balada ini.

“Menerusi single pertama kami berkolaborasi dengan Laika AF sebagai percubaan.

“Walaupun sambutannya biasa-biasa sahaja, kami tidak serik untuk berkolaborasi dengan mana-mana artis selepas ini.

“Dengan terhasilnya single kedua, kami mahu lebih fokus dengan muzik yang diperjuangkan iaitu rock moden dan balada,” kata Rongak mewakili temannya.

Tidak ralat kurang dikenali, Aduka Band menegaskan keutamaan mereka adalah muzik yang dibawa.

Apatah lagi dengan kecangggihan teknologi, pelbagai medium boleh digunakan bagi mempromosikan lagu mereka.

“Kami sudah lama dalam bidang ini dan tidak pernah meletakkan populariti sebagai keutamaan. Kami hanya mahu kongsi minat dan bakat dengan orang ramai.

“Walaupun bakat baru muncul bagai cendawan selepas hujan, kami tidak gusar kerana percaya dengan rezeki.

“Justeru, walaupun kurang dikenali kami tiada masalah. Harapan kami semoga single Aku Tersakiti dapat diterima ramai,” kata Rongak lagi.

Aku Tersakiti adalah single kedua The Aduqa selepas Hidup dan Mati. Lagu ciptaan Zimi Sofaz itu sudah diputarkan di beberapa stesen radio.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 10:45 AM