FOTO ihsan PPM
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Johor Bahru: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sedang menunggu bot pancung untuk pulang ke Indonesia di Pantai Pasir Logok, Kuala Sedili, Kota Tinggi, awal pagi tadi.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, tindakan menahan semua PATI terbabit susulan aduan awam berhubung lokasi panas yang sering digunakan kumpulan terbabit untuk keluar masuk di negara ini.

Katanya, tujuh anggota Ops Landai PPM Pengerang bersama empat anggota PSC 48 ke lokasi kejadian kira-kira jam 3.12 pagi.

"Bertindak atas maklumat penyusupan PATI yang keluar masuk dari lokasi terbabit, anggota PPM Pengerang dan anggota bot ronda PSC 48.

"Ia susulan sekumpulan manusia yang dikatakan berkumpul di kawasan itu untuk pulang ke negara jiran dengan menggunakan bot pancung," katanya.

Semua ditahan katanya membabitkan 15 lelaki dewasa, tujuh perempuan, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.

Beliau berkata, semua PATI itu ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 4:28 PM