PERUT sakit sehingga cirit-birit perlu dirawat.
PASTIKAN sayuran dibasuh bersih sebelum masak.
BASUH tangan dengan sabun.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Amalan penjagaan kebersihan bukan hanya terletak kepada kekemasan hiasan rumah malah ia meliputi pelbagai aspek dalam rutin harian termasuk makanan.

Setiap hari, kita menikmati pelbagai makanan dan minuman sama ada di rumah atau di kedai tanpa disedari ia benar-benar bersih atau sebaliknya.

Bagi individu yang begitu mementingkan amalan kebersihan, ia bukan masalah besar kerana mereka memastikan makanan boleh dinikmati tanpa mendatangkan sebarang kesan sampingan.

Namun, siapa menduga jika kita juga berisiko tinggi mendapat penyakit yang disebabkan makanan atau minuman jika tidak mengamalkan kebersihan secara menyeluruh.

Menurut Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Tropicana Dr Dennis Khoo Yeap Teng, penyakit bawaan makanan dan air boleh berlaku apabila kuman atau bakteria berbahaya memasuki badan daripada pengambilan makanan atau air yang tercemar atau kotor.

"Ada juga penyakit bawaan air yang bukan saja disebabkan bakteria atau kuman masuk ke dalam badan melalui saluran pemakanan saja tetapi menerusi kulit ataupun mata.

"Banyak jenis bakteria penyebab penyakit. Ia bergantung kepada jenis kuman dan penyakit berlainan tetapi kebanyakannya menyebabkan gejala demam, cirit-birit, sakit perut, kembung dan dehidrasi.

"Jika dibiarkan tanpa rawatan, penyakit yang dianggap biasa ini boleh menjadi serius hingga boleh menyebabkan kematian. Kematian boleh berlaku disebabkan dehidrasi sekali gus membuatkan tekanan darah menjadi rendah dan mengalami renjatan," katanya.

Penyakit bawaan makanan dan air ini dipanggil keracunan makanan. Keracunan makanan boleh menyebabkan beberapa penyakit dan antara yang serius ialah demam kepialu, taun (kolera) dan disentri (berak darah).

Tambah Dr Khoo, setiap tahun lebih daripada sejuta individu di seluruh dunia menghadapi masalah keracunan makanan. Ia angka yang begitu membimbangkan walaupun dianggap biasa bagi sesetengah individu.

Risiko keracunan makanan bergantung kepada pengambilan makanan individu sama ada mereka begitu menitikberatkan aspek kebersihan dalam penjagaan diri atau makanan yang diambil saban hari.

Beberapa jenis makanan yang biasa dikaitkan dan berisiko tinggi mendapat jangkitan keracunan makanan ialah:

1. Makanan yang tidak dibersihkan dengan sempurna.

2. Makanan bercengkerang (kerang, kepah, kupang, lala dan tiram).

3. Sayuran mentah (ulam dan salad).

4. Makanan mentah seperti sushi.

Selain makanan, jangkitan boleh merebak melalui individu yang memiliki bakteria atau kuman berkenaan. Ia boleh disebarkan melalui penyediaan makanan tanpa membersihkan tangan terlebih dulu terutama selepas keluar dari tandas.

Ia mudah berlaku kepada individu yang tidak menjaga kepentingan kebersihan makanan atau minuman. Antara individu yang berisiko tinggi mendapat masalah keracunan ialah bayi, warga emas dan orang yang mempunyai penyakit kurang daya tahan seperti AIDS.

Bayi khususnya mempunyai sistem imun yang masih belum matang manakala warga emas pula bermasalah dengan daya tahan badan yang rendah atau rapuh.

Keracunan makanan boleh menjadi serius jika air di dalam badan berkurangan disebabkan cirit-birit dan muntah. Justeru, cecair yang hilang perlu diganti bagi memberi tenaga kepada badan.

Ini kerana peranan air di dalam badan sangat penting terutama membantu hampir kebanyakan anggota badan manusia untuk berfungsi secara berkesan.

Otak kita adalah 75 peratus air manakala darah, tulang dan otot-otot masing-masing mewakili sebanyak 92, 22 dan 75 peratus air. Air penting untuk pernafasan dan mengawal atur suhu badan.

Air juga penting bagi melindungi dan melapik organ utama termasuk sendi tulang. Di samping itu, air membawa nutrien (zat makanan) dan oksigen ke semua sel dalam badan serta membantu tubuh menyerap nutrien.

Air menukar makanan kepada tenaga dan menyingkirkan bahan sisa yang tidak dikehendaki. Biasanya masalah keracunan makanan berlaku tidak lebih daripada tempoh seminggu.

"Jika ia berpanjangan kemungkinan ada sebab lain yang tidak diketahui dan memerlukan pemeriksaan dengan doktor pakar. Bagi mencegah sebarang masalah keracunan makanan, pastikan tangan dan makanan bersih.

"Lebih mudah mengawal masalah ini jika menyediakan sendiri makanan di rumah kerana dapat mengenal pasti tahap kebersihan hidangan.

"Namun, ada sesetengah makanan yang mengandungi bakteria atau kuman dan ia boleh memasuki badan manusia. Justeru, gunakan pisau dan papan pemotong yang dibasuh menggunakan air panas sebelum penggunaannya terutama ketika memotong daging ayam mentah kerana banyak bakteria salmonella terdapat dalam daging," katanya.

Pastikan juga makanan dimakan terus dan jangan dibiarkan pada suhu bilik melebihi dua jam. Sebaiknya, simpan terus ke dalam peti sejuk selepas makan kerana walaupun hidangan yang sudah terdedah selama dua jam dipanaskan, toksin daripada bakteria yang dilepaskan masih ada dan tidak mampu dihilangkan daripada makanan itu.

Demam kepialu

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan, sejumlah 785 kes demam kepialu dilaporkan pada 2003, dengan kadar insiden 3.13 setiap 100,000 penduduk di Malaysia.

"Demam kepialu boleh terjadi disebabkan satu jangkitan bawaan makanan berpunca daripada bakteria Salmonella typhi (S.typhi). Bakteria dibawa ke dalam darah dan usus individu yang dijangkiti demam kepialu.

"Kehadiran bakteria ini mampu mencemari makanan dan minuman ketika proses penyediaan, sekali gus boleh menjangkiti orang lain. Penyakit ini boleh merebak melalui makanan dan minuman yang disediakan oleh pembawa bakteria.

"Ia juga boleh merebak dengan mudah melalui makanan atau minuman tercemar dengan najis manusia yang mengandungi bakteria berkenaan," katanya.

Tambahnya, ia berlaku apabila individu yang menyediakan makanan tidak membersihkan tangan dengan betul selepas keluar dari tandas sebelum memasak.

Kebiasaannya gejala akan muncul selepas pendedahan dalam tempoh seminggu hingga dua minggu, tetapi ia juga boleh berlaku daripada tiga hari hingga tiga bulan.

Demam kepialu perlu mendapat rawatan segera sekiranya terdapat beberapa gejala timbul seperti demam berterusan, cirit-birit atau sembelit, sakit kepala dan badan, kurang selera makan, batuk tanpa kahak, denyutan jantung perlahan, ruam (bintik merah pada bahagian atas badan) serta bengkak limpa dan hati.

Jika tidak mendapatkan rawatan awal, ia boleh menyebabkan kematian apabila dehidrasi badan berlaku secara melampau hingga menyebabkan badan kematian.

Taun

Taun adalah penyakit jangkitan bakteria vibrio cholerae pada usus kecil dan ini menyebabkan cirit-birit yang teruk. Di Malaysia terdapat 133 kes taun pada 2007 dengan kadar insiden 0.54 per 100,000 penduduk.

Jangkitan ini boleh merebak melalui makanan dan minuman yang tercemar dengan kuman taun, kurang penjagaan kebersihan diri serta kurang rawatan pada air untuk diminum dan kumbahan atau pembetungan.

Individu yang dijangkiti taun akan kehilangan cecair daripada badan yang menyebabkan dehidrasi dan renjatan hingga boleh mendatangkan kematian dalam tempoh singkat jika tidak mendapat rawatan.

Tanda atau gejala jangkitan taun muncul dalam beberapa jam hingga lima hari selepas terdedah kepada jangkitan.

Antara gejala jangkitan taun ialah:

1. Cirit-birit mendadak yang banyak dan cair. Cirit-birit ini berbau busuk dan ia menyerupai air basuhan beras.

2. Dehidrasi (keadaan kekurangan air).

3. Kadar nadi atau degupan jantung yang laju.

4. Kulit kering.

5. Terlalu dahaga.

6. Mata cengkung.

7. Tiada air mata.

8. Letih lesu.

9. Teramat mengantuk atau lemah.

10. Kurang kencing.

11. Cengkung di bahagian ubun-ubun bagi bayi.

12. Kekejangan abdomen.

13. Loya atau muntah.

Fakta

Penyakit bawaan makanan dan air tersebar melalui:

Orang yang tidak mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran.

Pembawa kuman melalui tangan yang tidak dicuci sebelum menyediakan makanan.

Lalat dan lipas yang menghinggap makanan.

Air minuman yang tidak dimasak.

Sayuran yang tidak dicuci bersih.

Air hujan yang tercemar melalui najis pesakit atau pembawa kuman penyakit bawaan makanan dan air.

Keracunan makanan disebabkan makanan atau air boleh dicegah dengan beberapa cara, antaranya:

1. Basuh tangan menggunakan sabun dan air selepas ke tandas juga sebelum menyediakan makanan.

2. Hanya makan makanan yang sudah masak sepenuhnya.

3. Elakkan makanan dan minuman berisiko seperti sayuran mentah atau ulam, buah-buahan, makanan daripada penjaja dan ais semasa berlakunya wabak terutama demam kepialu.

4. Minum air yang dimasak atau dibotolkan.

5. Elakkan ais kecuali dibuat daripada air masak atau botol.

6. Kekalkan kebersihan dan sistem pembuangan najis yang sesuai terutama selepas banjir atau bencana alam.

7. Hanya gunakan air bersih untuk penyediaan makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 5:01 AM