MDEC jalin kerjasama dengan KEJORA.
TEKNOLOGI bantu peniaga.
INNOV8IF ubah cara guna telefon pintar.
PERKHIDMATAN CALMS guna teknologi mudah alih.
KEMUDAHAN moden rapatkan jurang.
Sri Ayu Kartika Amri (Yang mengikuti Arena One Demoday 2016 di JakartaIndonesia dan baru-baru ini)
kartika@hmetro.com.my


Malaysia antara negara di Asia Tenggara yang sangat aktif membantu syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan dalam menyediakan akses menembusi pasaran global.

Menerusi peranan yang dimainkan oleh agensi kerajaan, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), jelas menunjukkan sektor digital pantas berkembang dan seterusnya membantu menyumbang sebanyak 17 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Ketika ini, terdapat kira-kira 3,800 syarikat ICT tempatan memperoleh status Koridor Raya Multimedia (MSC) dan sejak 20 tahun lalu, MDEC yang komited dalam membangunkan industri digital di negara ini, yakin jumlah itu akan terus bertambah.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Datuk Yasmin Mahmood berkata, pelbagai usaha dilakukan selain dengan membantu dari segi pemberian geran, latihan serta bimbingan.

“Kami mahu melahirkan lebih ramai syarikat berstatus MSC yang berdaya saing bukan saja di negara ini, malah ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Bagi membuktikan komitmen MDEC membantu syarikat ICT tempatan, agensi itu turut memperkenalkan program Pecutan Rangkaian Inovasi Global (GAIN).

GAIN diperkenalkan tahun lalu untuk meningkatkan kadar pertumbuhan dan pendapatan syarikat melalui teknologi bagi membolehkannya meneroka pasaran lebih meluas dan berdaya saing di peringkat global.

Di bawah GAIN, MDEC mengatur beberapa program bagi membantu pertumbuhan syarikat ICT tempatan, antaranya menganjurkan lawatan bersama 21 syarikat ke Lembah Silikon, Amerika Syarikat (AS) dan memeterai perjanjian dengan Pusat Penyelidikan Palo Alto (PARC) bagi membuka ruang kepada syarikat ICT tempatan menjalin kerjasama dengan pusat terbabit.

Terbaharu, 31 syarikat berstatus MSC dibawa ke Jakarta, Indonesia bagi program padanan perniagaan dan membuat pembentangan dengan syarikat berpotensi di negara itu.

Yasmin berkata, menerusi perjanjian persefahaman bersama syarikat pemodal teroka Indonesia, Kejora Group (Kejora), ia bakal menguntungkan kedua-dua negara.

“Bukan mudah memasuki pasaran luar negara dan dengan usaha MDEC ini, kami berharap ‘pintu’ pasaran yang disediakan akan menyokong lagi pembangunan ekonomi digital dan syarikat ICT Malaysia.

“MDEC juga sentiasa mengenal pasti syarikat yang mempunyai potensi dan bersedia untuk berkembang di pasaran global,” katanya.

Beliau berkata, daripada sesi pitching Arena One Demoday 2016 di Jakarta, beberapa syarikat pemula (start up) Malaysia menarik minat syarikat berpotensi Indonesia.

Antaranya adalah CALMS, Innov8if, PrimeKeeper dan TapWay.

Card Application Life Cycle Management System (CALMS) membolehkan penggunaan satu kad untuk pelbagai aplikasi, manakala Innov8if menawarkan perisian yang boleh memudahkan proses jualan.

Seterusnya, PrimeKeeper menyediakan aplikasi perbankan terbuka bersepadu dengan ciri keselamatan terjamin dan TapWay syarikat teknologi yang memfokus inovasi cloud bagi industri peruncitan.

Selain itu, Yasmin berkata, semua pihak perlu melihat pasaran yang lebih global, tidak hanya tertumpu kepada pasaran Malaysia dan Indonesia saja.

“Kita perlu mula dengan wilayah Asia Tenggara dulu dan seterusnya ke negara lain,” ujarnya.

Syarikat Malaysia juga adalah pelabur kedua terbesar di Indonesia dalam sektor digital.

Sementara itu, MDEC akan memberi fokus kepada empat bidang utama dalam memacu ekonomi digital Malaysia menjadi lebih mampan.

Antaranya menarik lebih banyak pelaburan, pengembangan teknologi tempatan, memangkin ekosistem inovasi digital dan merakyatkan ekonomi digital.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 12:59 PM