BUKAN setakat pemilihan kata-kata, bahkan tingkah laku di pentas juga perlu ‘berjaga-jaga’.
Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


Kewujudan program berunsur jenaka memberi peluang kepada wanita untuk mengasah bakat mereka dalam bidang lawak jenaka, namun ia bukanlah mudah.

Jika pelawak lelaki boleh menggunakan apa saja elemen termasuk kata-kata berunsur ‘double meaning’ untuk dijadikan bahan jenaka, tetapi masyarakat tidak boleh terima jika pelawak wanita menuturkannya.

Nurul Ain Othman, 29, atau Ain antara bakat seni yang dicungkil daripada program Bintang Mencari Bintang (BMB) pada 2013, Skool of Lawak (2014), Liga Lawak Superstar (2014) dan Projek Komedi Warna (2015).

Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Teater dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam ini, sebelum mencuba bakat dalam BMB, dia yang berperwatakan ceria dan peramah tidak sangka memiliki bakat terpendam.

“Boleh pula saya berlawak. Dalam BMB, saya ditemukan dengan seorang lagi peserta wanita iaitu Filzah Azmi kerana penerbit mahu kami muncul secara berkumpulan. Kami hanya mampu bertahan sehingga minggu keempat.

“Ketika menyertai Skool of Lawak, saya berjaya sehingga ke final dan pada pertandingan Liga Lawak Superstar bergandingan dengan Zulin Aziz dan Izzue Kepoh, kami muncul naib juara,” katanya.

Dalam Projek Komedi Warna, Ain beradu bakat dengan Fiza dan Ayie hingga berjaya mendapat tempat ketiga.

Menyertai semua program itu adalah pengalaman yang sukar buat Ain terutama dalam menghadapi cabaran untuk menjadi pelawak wanita di negara ini.

“Pilihan kata-kata mesti betul, tidak boleh ada ‘dua maksud’ dan pemilihan isu untuk diketengahkan juga mesti ‘kena’.

“Selepas ‘menguji’ penonton dengan beberapa isu dan tidak ‘menjadi’, barulah kami mendapat ilham untuk mencari tema berkisar isu wanita dan penonton boleh terima.

“Setiap minggu kami bergelut dan macam nak ‘pecah kepala’ mencari idea,” katanya.

Menurut Ain, bukan setakat pemilihan kata-kata, bahkan tingkah laku di pentas juga kena ‘berjaga-jaga’.

“Janganlah berkelakuan seperti lelaki terlompat-lompat, terkinja-kinja, duduk mengangkang atau tergedik-gedik, teruklah dikecam,” katanya.

Selepas menyertai semua program itu, rezeki Ain dalam bidang lawak tidaklah secerah mana.

Bagi meneruskan minatnya dalam bidang seni, dia pernah bekerja di belakang tabir syarikat produksi dan sekarang berlakon sepenuh masa.

Antara drama lakonannya Teman Lelaki Upahan, Selamat Pengantin Madu dan terbaru drama 20 episod berjudul Menantu Ting Tong, yang akan bersiaran di slot Azalea, TV3, Julai ini.

Menurut Ain, wataknya dalam drama Menantu Ting Tong bernama Hawa, teman wanita kepada Mikhail lakonan Ben Amir.

“Agak sukar membawa watak Hawa kerana pengarah, Nasir Jamaludin mahu saya menjadi gadis pingitan, bertudung, bercakap dan berjalan lemah lembut serta bersopan santun.

“Watak Hawa sangat bertentangan dengan sikap sebenar saya dan untuk menjiwai watak itu, pada awalnya saya memang tertekan,” katanya yang juga aktif berlakon teater.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 12:02 PM