MOHAMAD JAZRIN didakwa mengendalikan harta pengganas. FOTO L Manimaran
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Kampar: Jurulatih kayak didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana kesalahan mengendalikan harta pengganas pada Januari hingga Februari lalu.

Tertuduh Mohamad Jazrin Mohamad Azha, 22, didakwa memberikan perkhidmatan kewangan iaitu membenarkan kemasukan dan pengeluaran wang melalui akaun bank miliknya kepada pengganas, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, 26, bagi manfaat pengganas berkenaan.

Mohamad dituduh melakukan kesalahan itu melalui akaun RHB Bank di Gopeng, di sini pada Januari hingga Februari lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 130Q (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana barangan itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Azriah Zaid di hadapan Majistret Mohd Azrul Hasyimi Mohammad dan tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Nurul Azriah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan tertakluk mengikut Seksyen 13 (1) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan memohon untuk sebutan semula kes untuk lengkapkan dokumen bagi memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mohd Azrul Hasyimi kemudian menetapkan 27 Julai ini bagi sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 11:09 AM