ANGGOTA kumpulan kebajikan Sa’ed menganjurkan dapur terbuka berhampiran Masjid Umayyad di bandar Damsyik, Syria khusus untuk golongan daif sepanjang Ramadan.
Idris Musa

Sayidina Ali bin Abu Talib RA berkata: “Amal perbuatan paling berat ada empat; memberi maaf ketika marah, memberi sedekah ketika miskin, menjaga kemuliaan diri ketika sendirian dan berkata benar terhadap orang ditakuti atau mengharapkan jasanya.”

Tidak ramai yang dapat bersedekah ataupun menghulurkan sesuatu kepada orang lain ketika berada dalam kemiskinan. Maklumlah, hendak makan pun susah, inikan pula mahu membantu orang lain.

Ramai yang hanya menunggu sehingga jadi kaya barulah ingin melakukan amal kebajikan. Namun, tahun berganti tahun, impian tidak juga terlaksana. Kalaupun kaya, belum tentu memberi, sebab selalunya sayang harta.

Justeru itu, sampai bila-bila pun kita tidak dapat bersedekah. Terlepas satu daripada ciri orang bertakwa. Walhal orang bertakwa disediakan syurga seluas segala langit dan bumi, sebagaimana firman-Nya pada surah Ali-Imran, 133 dan 134 bermaksud:

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang bertakwa.

“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara baik.”

Berilah walaupun sedikit

Berilah sesuatu walaupun sedikit. Usah khuatir, kerana pemberian itu tidak mengurangi harta, seperti ditegaskan dalam satu hadis riwayat Muslim.

Firman-Nya dalam surah Saba, ayat 39 bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-hamba-Nya.

“Dan Dia juga yang menyempitkan baginya dan apa saja yang kamu dermakan, maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki.”

Contohilah sifat dermawan Rasulullah SAW. Baginda tidak mengecewakan sesiapa yang meminta kepadanya, seperti diceritakan oleh Jabir RA: “Tidak pernah sama sekali Rasulullah SAW diminta sesuatu, kemudian Baginda menjawab tidak.” (Muttaqaq alaih)

Pastikan yang terbaik

Apabila bersedekah biarlah dengan ikhlas. Memberi yang terbaik terutama membabitkan makanan, minuman, pakaian dan barang kegunaan lain. Jangan beri yang buruk, lusuh atau hampir basi.

Jika kita hendak beri semangkuk gulai untuk berbuka puasa kepada jiran misalnya, berilah bahagian isi dan bukannya tulang. Mahu belikan pakaian kepada anak yatim, belilah yang sempurna dan baik seperti dipakai kanak-kanak lain.

Sebabnya Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 267 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untukmu. Janganlah kamu memilih yang buruk untuk kamu keluarkan.”

Ibnu Abbas RA berkata: “Allah memerintahkan mereka untuk berinfak dengan harta terbaik, paling bagus dan terindah.

“Dia juga melarang mereka bersedekah dengan harta rendahan dan hina iaitu harta yang buruk kerana sesungguhnya Allah adalah Zat yang baik dan Dia tidak akan menerima melainkan yang baik.”

Jadi, sempena Ramadan yang mulia ini marilah kita menjadi orang yang baik hati. Kita suburkan budaya memberi atau bersedekah. Beri, jangan tak beri!

Penulis ialah Penulis Khas, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 9:55 AM