Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


Melihat gayanya sekarang, tiada siapa menyangka lelaki muda dengan rambut kerinting itu pernah menjadi pencuri dan pengedar dadah. Namun Hood Katende, 26, sudah insaf dan kini menjadi aktivis anti-AIDS di kawasan setinggan di Kampala.

Dalam usaha mengekang penularan virus HIV, dia menasihatkan lelaki untuk memakai kondom jika tidak mampu menahan diri daripada mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin dan menggesa remaja perempuan menolak sebarang pelawaan berbaur seksual daripada lelaki yang lebih berusia walaupun mereka diberi ganjaran kewangan.

"Pada waktu malam, anda boleh lihat lelaki muda menunggu mangsa (remaja perempuan) untuk memuaskan nafsu mereka dan saya cuba hampiri kumpulan ini, menasihatkan mereka tidak berbuat demikian.

"Dulu saya juga jahat, saya pernah bersama-sama mereka merokok sepanjang hari di lorong gelap dan memulakan operasi pada waktu malam. Saya pernah jadi geng penjahat, tetapi kini saya sudah berubah," akuinya.

Jumlah kes HIV/AIDS yang tidak pernah susut di Uganda menyedarkan Katende dia perlu memainkan peranan dan memanfaatkan tenaga mudanya untuk mengelakkan golongan muda daripada terus menjadi mangsa penyakit yang masih belum ditemui penawarnya itu.

Sempena sambutan Hari AIDS Sedunia pada 1 Disember lalu, Katende tetap mahu menyumbang tenaga mengawal penularan HIV di negaranya yang kini menjangkiti lebih 500 wanita muda berumur 15 hingga 24 tahun setiap minggu, berdasarkan maklumat Suruhanjaya AIDS Uganda.

Menurut Kementerian Kesihatan Uganda, antara 2007 hingga 2013 saja, jumlah penduduk dijangkiti HIV meningkat daripada 1.2 juta kepada 1.6 juta.

Kadar jangkitan HIV di Uganda kini kekal pada 7.4 peratus, satu peningkatan agak tinggi berbanding enam peratus 10 tahun lalu. Tentu saja ia membimbangkan banyak pihak khususnya aktivis AIDS yang mahukan kerajaan sekarang yang diterajui Yoweri Museveni untuk mengambil langkah proaktif dan memperbaharui kempen pada 1990-an dulu.

Mereka menggesa kerajaan Uganda menjadi pendahulu dalam menangani dan mengekang penularan HIV. Malah, perkembangan yang menyedihkan ini sentiasa dalam perhatian penderma negara Barat yang tidak putus menyalurkan bantuan kewangan bagi menampung kos rawatan AIDS untuk pesakit miskin di negara itu. Kini lebih 250,000 penduduk Uganda mendapat rawatan AIDS yang disalurkan melalui kerajaan Amerika Syarikat.

Penyelidik Uganda berkata, virus HIV paling cepat merebak melalui pasangan berkahwin, apatah lagi ada rangsangan daripada 'hidangan sampingan', satu istilah diberikan khas untuk kekasih gelap atau perempuan simpanan. Mempunyai kekasih gelap atau perempuan simpanan menjadi satu kemestian bagi kebanyakan lelaki Uganda sehingga ia dianggap sebagai satu fenomena.

Kebanyakan perempuan simpanan ini terdiri daripada remaja yang sememangnya menjadi idaman lelaki kaya. Lelaki ini juga dijangkiti virus HIV.

Bagi Katende, bahaya yang lebih besar menunggu remaja perempuan di kawasan setinggan Kamwokya, apabila ramai sanggup melakukan apa saja untuk mendapat semua keperluan hidup termasuk makanan dan pakaian.

Ramai remaja perempuan yang dikenalinya sudah dirogol berulang kali. Malah ada juga remaja yang mendapatkan perkhidmatan menggugurkan anak kerana hamil sebelum berkahwin.

Setiap hari Katende akan merayau-rayau di kawasan tempat tinggalnya sambil memerhatikan perlakuan remaja di situ. Baru-baru ini dia menyaksikan hampir 12 kanak-kanak berlatih dan memperbaiki tarian mereka. Kanak-kanak berkenaan akan menjadi penari pengiring Katende dalam satu persembahan di timur Uganda bagi meningkatkan kesedaran mengenai HIV/AIDS.

Sekarang Katende dilihat sebagai 'ejen perubahan' di kawasan kejiranannya. Malah dia juga diberi upah untuk mengadakan persembahan di mana-mana majlis yang dibiayai agensi kanak-kanak di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Dia menyanyi untuk menarik perhatian dan menggalakkan lebih ramai penduduk Uganda menjalani ujian saringan HIV secara sukarela.

Tahun lalu, Katende mengetuai acara berkhatan beramai-ramai, satu prosedur yang didapati boleh mengurangkan kadar penularan HIV.

Menurut Lawrence Mukiibi, koordinator belia di Treasure Life Center, aktivis yang mempunyai kemahiran mengadakan persembahan jalanan dan pengalaman hidup yang boleh menarik perhatian seperti Katende amat diperlukan. Mereka boleh mendekati golongan muda khususnya di kawasan miskin dan banyak kes jenayah yang mudah terjebak dengan HIV.

Treasure Life Center adalah satu kumpulan yang berkongsi studio rakaman (beroperasi atas sumbangan penderma tempatan dan antarabangsa) kini memberi fokus kepada aktiviti hiburan bermaklumat seperti drama di mana golongan muda boleh berhibur, namun pada masa sama belajar mengenai kesihatan reproduktif.

"Kini kadar jangkitan meningkat semula dan kami perlu mencari jalan untuk memasuki dunia orang muda. Kami perlu melihat teknik sesuai yang boleh digunakan jika kami mahu mendekati dan mendidik pelajar sekolah.

"Inilah sebabnya mengapa kami bekerjasama dengan Katende. Jika anda tidak memasukkan mesej ini dalam muzik atau drama, mungkin orang tidak akan tahu betapa seriusnya penyakit ini dan keadaan di Uganda sekarang," katanya-AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 5:00 AM