Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Alor Setar: Lelaki yang juga pesakit mental cedera di dada, perut dan patah tangan kanan selepas diserang dengan pisau oleh abangnya di Lorong Taman Tunku Husna, Jalan Tanjung Bendahara di sini pagi tadi.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, mangsa berusia 40 tahun itu diserang abangnya, 48, selepas dia membakar pintu bilik tidur suspek menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pertengkaran itu bermula dari bilik depan hingga ke ruang dapur di belakang rumah.

Menurutnya, punca kejadian disebabkan mangsa membakar pintu bilik tidur suspek dan turut menyerang abangnya itu menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka.

“Suspek yang bertindak balas menyerang mangsa dengan pisau di dapur rumah menyebabkan adiknya itu cederadi dada kiri, perut dan patah tangan kanan.

“Suspek turut cedera di tangan kiri sebelum jiran yang menyedari kejadian itu menyelamatkan mangsa dan menghubungi polis,”€ katanya.

Mohd Rozi berkata, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah sementara suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 6:50 PM