Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Wabak jangkitan virus Human Immunodeficiency Virus (HIV) dan Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS) adalah masalah kesihatan sosioekonomi yang melanda hampir semua negara di dunia.

Kes pertama dikesan pada 1981 di California, Amerika Syarikat. Pada akhir 2013, dianggarkan hampir 32 juta orang hidup dengan jangkitan HIV.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menganggarkan, kadar HIV dalam kalangan populasi utama adalah 12 peratus manakala menurut agensi AIDS Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNAIDS), kematian akibat AIDS menurun sebanyak hampir 40 peratus di rantau Asia Pasifik sejak 2005, namun ia meningkat kira-kira 20 peratus di Malaysia.

Menurut Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Adeeba Kamarulzaman, kesedaran mengenai jangkitan HIV/AIDS perlu disampaikan kepada orang awam agar mereka sentiasa bersedia dengan maklumat berguna.

"Berdasarkan pengalaman kami di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) menunjukkan sejumlah besar daripada mereka yang dijangkiti HIV tidak menyedari mengenai jangkitan sebelum mengalami gejala penyakit.

"Selain itu, penyelidikan kami di Jabatan Penyakit Berjangkit dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS juga memberi tumpuan kepada golongan terpinggir seperti penagih dadah, lelaki yang melakukan hubungan seks sama jantina (MSM) dan pekerja seks untuk melakukan ujian HIV secara berkala," katanya.

Di Malaysia, kes HIV yang pertama dilaporkan pada 1986. Pada Mei lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, situasi semakin membimbangkan apabila berlaku peningkatan jumlah mereka yang hidup dengan HIV (PLHIV) dalam kalangan belia berusia 20 dan 30 tahun.

Pada 2013, terdapat 3,393 kes HIV di Malaysia yang dilaporkan dengan purata sembilan kes sehari manakala terdapat kira-kira 86,324 kes PLHIV iaitu 0.44 peratus daripada jumlah populasi.

Sehingga akhir 2013, jumlah kes PLHIV sebanyak 85,332 kes dengan jumlah kes kumulatif HIV dikesan 101,672 dan jumlah kematian 16,340 kes.

Jumlah PLHIV dijangka meningkat kepada 91,733 menjelang 2015. Lelaki sebahagian besar golongan berkenaan dengan kes kumulatif HIV di negara ini iaitu 78.5 peratus.

Pada 2013, 21.5 peratus dalam kalangan lelaki mendapat jangkitan melalui penggunaan suntikan dadah dan 73.6 peratus menerusi hubungan seksual.

Kebanyakan jangkitan HIV dalam kalangan wanita berlaku melalui heteroseksual, berkaitan dengan tingkah laku yang mengarah kepada jantina berlainan iaitu dengan jumlah 51.4 peratus.

Usaha murni beri kesedaran

Sempena pelancarannya di Malaysia, TemanTeman.org menganjurkan pameran fotografi untuk memberi kesedaran mengenai HIV/AIDS di pusat beli-belah.

Kemeriahan pameran berkenaan disertai selebriti terkenal seperti Diana Danielle dan Carmen Soo sekali gus menjadi duta untuk laman portal berkenaan.

Pengarah Projek TemanTeman.org, Tarandeep Anand berkata, sebelum ini pusat sumber berkenaan dilancarkan di Indonesia pada Januari 2013 yang bertujuan untuk menyebarkan maklumat mengenai Jangkitan Menerusi Seks (STIs).

"Pusat sehenti ini menawarkan maklumat mengenai ujian pemeriksaan, HIV, STIs, rawatan dan senarai pusat jagaan di negara ini.

"Objektif kami ialah kepentingan untuk meningkatkan kesedaran awal mengenai jangkitan berkenaan di samping melakukan ujian pemeriksaan secara sukarela untuk mengekalkan kesihatan," katanya.

Sementara itu, Diana berkata, ketika menyambung pengajian dalam penulisan skrip di Australia, dia pernah membaca buku yang mengisahkan bagaimana seseorang itu boleh mendapat jangkitan HIV.

"Ia memberikan sedikit gambaran dan kesedaran mengenai kehidupan, kepayahan dan perasaan tidak selamat PLHIV. Justeru, saya berasa penting untuk menyedarkan orang ramai mengenai HIV dan penemuan saintifik secara meluas," katanya.

Carmen turut mengakui, matlamat pusat sehenti berkenaan untuk menyebarkan maklumat kepada orang awam penting kerana tiada siapa tahu bagaimana mereka boleh dijangkiti HIV positif.

"Ketika saya bertemu dengan NGO ini, saya agak terkejut hanya sedikit maklumat mengenai jangkitan HIV/AIDS yang diketahui. Justeru, saya mengambil keputusan untuk lebih aktif dan membantu menyebarkan kesedaran mengenai HIV," katanya.

Kedua-dua selebriti berkenaan mengambil bahagian untuk menyebarkan lebih banyak maklumat kepada rakan dan peminat termasuk orang awam bagi membantu mengurangkan kadar jangkitan HIV di negara ini.

Diana dan Carmen turut menjalani ujian HIV/AIDS pada majlis pelancaraan berkenaan sebagai tanda menyokong usaha menyedarkan orang awam mengenai jumlah kes yang semakin meningkat di negara ini.

Pada pameran itu, pemeriksaan HIV turut diadakan untuk memudahkan orang awam mengambil langkah awal mengesan jangkitan daripada retrovirus berkenaan.

Tidak ketinggalan, pelancaran rasmi pusat sehenti TemanTeman.org untuk membantu memberikan lebih banyak maklumat berguna kepada orang ramai mengenai penyebaran HIV/AIDS di Malaysia.

Pusat sehenti berkenaan turut menggunakan kecanggihan sosial media untuk menjalankan kempen secara interaktif. Projek komuniti berkenaan dicipta Purple Haze Asia yang diasaskan Pusat Kajian Thai Red Cross AIDS Research Centre dan mendapat dana daripada ViiV Healthcare serta American Foundation for AIDS Research. Ia turut mendapat sokongan UMMC dan CERiA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 5:00 AM