SHAHRUDIN (dua kiri) melihat tong gas yang dirampas dalam operasi. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


Sungai Petani: Sebanyak 496 tong gas petroleum cecair (LPG) membabitkan pelbagai saiz bernilai kira-kira RM177,650 dirampas dalam serbuan di Kawasan Industri Kecil Sederhana (IKS) Kuala Ketil, Baling, di sini, semalam.

Serbuan 1 tengah hari itu diketuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya dengan kerjasama Polis Bukit Aman dan dikoordinasikan Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara (NRRET) di dua premis berasingan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri, Shahrudin Hamzah berkata, serbuan dibuat membabitkan dua premis berjarak kira-kira 300 meter iaitu stor tidak berlesen dan stor berlesen dipercayai terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan subsidi LPG.

"Ketika serbuan, kami mendapati stor haram terbabit disyaki menjadi pusat aktiviti pemindahan gas dari tong domestik bersubsidi iaitu 12 kilogram (kg) ke tong industri (50 kg).

"Ini berdasarkan penemuan peralatan seperti hos penyambungan, tudung keselamatan tong gas sebanyak dua kampit yang ditanggalkan daripada tong gas 12 kg dan beberapa peralatan lain," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, sebuah lagi premis yang diserbu dipercayai pemborong yang membekalkan tong bersubsidi bagi kegunaan sindiket.

Katanya, rampasan membabitkan 332 tong gas berisi 50 kg, dua tong gas berisi 14 kg, 87 tong gas kosong (14 kg) dan 75 tong gas kosong (12 kg), selain sebuah forklif, lori serta peralatan yang digunakan dengan nilai keseluruhan lebih RM238,000.

"Empat warga Myanmar berusia 20-an hingga 30-an yang dipercayai pekerja di stor terbabit dan pemandu lori berusia 37 tahun turut ditahan, manakala akaun bank milik sindiket terbabit berjumlah RM3 juta dibekukan bagi tujuan siasatan," katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, Peraturan 3 (1) Perintah Kawalan Bekalan (PKB) 1974 dan Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 3:15 PM