MOHD Khalid (dua kiri) menunjukkan keratan akhbar hari ini mengenai pembatalan Sijil Pengendali Udara (AOC) dan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) Rayani Air. FOTO Mohamad Zulhairie Manzaidi
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: Seramai 160 kakitangan sokongan darat Rayani Air Sdn Bhd (Rayani Air) menuntut syarikat penerbangan patuh syariah itu membayar gaji tertunggak selama tiga bulan.

Mereka juga mahu bayaran tunggakan itu dijelaskan sebelum Aidilfitri ini.

Pengurus Stesen Rayani Air Kota Bharu, Mohd Khalid Che Mohd Rani berkata, mereka sedih dan kecewa dengan tindakan pengurusan tertinggi syarikat itu terus mendiamkan diri dalam soal berkenaan.

"Saya ada menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat, Ravi Alagendrran bertanyakan hal tunggakan gaji kami tetapi jawapan diberikan tidak menyakinkan.

"Kami diminta menunggu dan bersabar tetapi sampai bila? Tiada jawapan kukuh diberikan kepada kami," katanya ketika hadir di pejabat Media Prima Berhad Kelantan, hari ini.

Mohd Khalid berkata, desakan itu juga mewakili kakitangan lain di stesen Kuala Lumpur, Langkawi, Sabah dan Sarawak.

Katanya, mereka juga sepakat mengambil tindakan undang-undang sekiranya pengurusan gagal menyelesaikan masalah itu.

Difahamkan, tunggakan gaji semua kakitangan Rayani Air termasuk sokongan darat mencecah RM4.5 juta.

Rayani Air tidak lagi dibenarkan untuk beroperasi sebagai syarikat penerbangan komersial berkuat kuasa semalam berikutan pembatalan Sijil Pengendali Udara (AOC) dan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) syarikat terbabit.

Pembatalan AOC dikeluarkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA), manakala pembatalan ASL dikeluarkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Berita berkaitan:

Batal sijil Rayani Air

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 1:12 PM