MANGSA tersepit di dalam mesin pembancuh simen. FOTO Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


Jasin: Pekerja tapak pembinaan maut selepas tersepit dalam mesin pembancuh simen di tapak pembinaan di Lipat Kajang, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, M Arun Kumar, 19, dikatakan sedang membersihkan mesin pembancuh berkenaan sebelum ia tiba-tiba berpusing.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari, Pegawai Bomba Kanan I K Karupanan berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 11.47 pagi sebuah jentera bersama lima anggota termasuk seorang pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba bomba mendapati seorang mangsa tersangkut di dalam mesin pembancuh simen.

"Bagi mengeluarkan mayat mangsa, bomba terpaksa menggerakkan mesin terbabit secara manual kerana badannya tersangkut pada bilah mesin berkenaan.

"Kira-kira 30 minit kemudian mayat mangsa dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 5:54 PM