BENDERA dan poster parti yang bertanding menghiasi jalan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P067 Parlimen Kuala Kangsar di persimpangan lampu isyarat Lembah Sayong, Kuala Kangsar. Hari mengundi PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun ini, menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid, Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS), Dr Ahmad Termizi Ramli (Parti Amanah Negara) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas). FOTO Danial Saad
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Kuala Kangsar: Penduduk Kuala Kangsar mahu Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli beri penjelasan mengenai ceramahnya yang mempunyai unsur ugutan mahu 'bom' Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Wakil penduduk, Mohamad Halim Mohamad Ali, 37, berkata, Rafizi dalam ceramahnya pada Khamis lalu meminta penduduk Kuala Kangsar memilih calon Parti Amanah Negara (PAN) supaya boleh menghantar 'bom' kepada Najib.

Katanya, perkataan dikeluarkan Rafizi itu bukan saja boleh menggugat keamanan di Kuala Kangsar, namun boleh menjejaskan keamanan di seluruh negara.

"Kuala Kangsar aman damai jangan buat perangai buruk di sini, kita orang Kuala Kangsar tak suka, apa saja boleh dibuat tapi dalam keadaan tenteram.

"Ini sampai nak bom orang dan perkara ini tidak patutnya berlaku kerana ia isu sangat sensitif," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohamad Halim berkata, dia bersama rakan-rakannya yang juga anak jati Kuala Kangsar dan tidak mewakili mana-mana badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah membuat empat laporan polis sehingga semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 12:39 PM