MAJLIS sambutan hari jadi Izzue.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Tanggal 2 Jun lalu, penyanyi dan pelakon, Izzue Islam menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-26.

Ketika ditemui, Izzue berkongsi beberapa azam dan impian yang ingin dicapainya.

“Tentunya saya ingin berjaya dalam bidang nyanyian, lakonan, pengacaraan dan perniagaan. Kalau boleh, saya ingin lebih fokus lagi kerana seiring peningkatan usia saya semakin matang. Saya juga gembira dengan kerja yang saya lakukan,” katanya.

Satu lagi impiannya adalah untuk memiliki cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan isteri yang juga pengurusnya, Nurinafilah Waharudin atau Awin.

“Setiap pasangan yang berkahwin tentunya mahukan zuriat. Begitu juga saya dan Awin. Saya harap, semua peminat mendoakan kami dikurniakan cahaya mata,” katanya.

Ditanya sama ada dia tertekan setiap kali disoal mengenai anak, Izzue berkata sedikit pun tidak kerana dia bersikap terbuka.

“Tidaklah sampai tertekan. Bagi saya, kalau orang bertanya mengenai anak, mereka mengambil berat mengenai saya dan isteri.

“Saya tahu, ramai sayangkan kami dan mahu rumah tangga kami lebih bahagia dengan kehadiran anak, cuma belum ada rezeki lagi. Insya-Allah, kita sama-sama doakan agar kami dikurniakan zuriat secepat mungkin,” katanya lagi.

Bercerita mengenai rutin hariannya sepanjang Ramadan, Izzue memaklumkan agak padat berikutan beberapa komitmen yang perlu dilunaskan.

“Bukan sahaja komitmen sebagai anggota Forteen, saya juga terikat dengan penggambaran, pengacaraan dan menguruskan perniagaan. Apa yang penting, saya perlu seimbangkan semuanya supaya teratur dan berjalan lancar,” katanya.

Sepanjang Ramadan ini juga, Izzue rancak menjual busana Muslim yang diusahakan sejak tahun lalu.

“Alhamdulillah, tahun lalu saya membuka gerai jualan busana Muslim di Tesco Mutiara Damansara dan sambutannya sangat menggalakkan. Tahun ini, bisnes ini diteruskan dengan menambah beberapa koleksi baru untuk kurta dan jubah.

“Lokasinya masih dalam perbincangan tetapi kemungkinan besar di Seksyen 7, Shah Alam dan akan mula beroperasi dua minggu sebelum Aidilfitri,” katanya.

Bersempena Aidilfitri, Izzue bakal muncul dengan dua telefilem iaitu Dia Semanis Honey Raya dan Siapa Diriku.

“Selain dua telefilem ini, saya juga akan muncul dengan filem Alif Dalam Tujuh Dimensi pada September dan drama Patahnya Sebelah Sayap untuk slot Samarinda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 12:00 PM