SERONOK dapat berbuka puasa bersama rakan di kampus kerana lebih meriah. - Gambar hiasan
SERONOK dapat berbuka puasa bersama rakan di kampus kerana lebih meriah. - Gambar hiasan
BERGANDINGAN bersama rakan menyediakan juadah pengalaman baru di kampus. - Gambar hiasan
AKTIVITI tadarus sepanjang Ramadan memberi peluang kepada siswa memanfaatkan masa terluang.
WALAUPUN bercuti dan menjalani ibadah puasa, tanggungjawab membuat ulang kaji serta tugasan tidak dilupakan.
Ruhaiza Rusmin dan Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my


Ramadan tidak pernah menjadi penghalang kepada penuntut Islam di institusi pengajian tinggi (IPT) menjalani ibadah puasa meskipun terpaksa ke dewan kuliah dan menelaah pelajaran.

Menganggap berpuasa di kampus ada keseronokan tersendiri, kebanyakan siswa tidak menghadapi masalah besar untuk menunaikan Rukun Islam ketiga itu meskipun rutin harian sedikit berbeza.

Apatah lagi, tahun

ini kebanyakannya sedang menghadapi peperiksaan akhir menjadikan ibadah puasa lebih relaks kerana mereka tidak perlu terkejar-kejar ke dewan kuliah.

Siswa Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Noor Syafiqah Md Shainisi berkata, rutin kehidupannya berubah sebaik kedatangan Ramadan yang dihabiskan dengan mengulang kaji.

Dia menduduki peperiksaan akhir yang bermula pada hari pertama Ramadan lalu, manakala aktiviti kuliah sudah selesai.

“Ini menyebabkan saya ada banyak masa dan hanya perlu berada di asrama. Kesempatan ini saya gunakan untuk melakukan ulang kaji dan ia lebih mudah kerana tidak perlu terkejar-kejar ke dewan kuliah.

“Walaupun ada berpendapat menelaah pada bulan puasa agak sukar, pada saya ia banyak membantu,” katanya.

Katanya, berpuasa di kampus lebih seronok kerana dapat berbuka, solat Tarawih dan bertadarus al-Quran bersama rakan.

“Hanya waktu ini kami berkesempatan berkumpul. Jika tidak kami bawa haluan masing-masing kerana jadual waktu berbeza,” katanya yang hanya akan pulang ke rumah selepas peperiksaan berakhir,” katanya.

Hasniar Rofiq Aunur yang berasal dari Surabaya, Indonesia, pula berkata, pengalaman berpuasa di sini berbeza dengan di negaranya.

Katanya, di Indonesia sesi persekolahan berjalan seperti biasa sepanjang Ramadan manakala di Malaysia kebanyakannya sedang menghadapi peperiksaan atau musim cuti sekolah.

“Saya sudah dua kali menyambut Ramadan di sini. Kedua-duanya pada musim peperiksaan dan cuti sekolah.

“Ini berbeza dengan Indonesia kerana sesi persekolahan berjalan seperti biasa dengan aktiviti yang agak memenatkan seperti membersihkan asrama,” katanya yang tidak menafikan mengalami kejutan budaya ketika pertama kali berdepan situasi itu.

“Tahun lalu, kali pertama saya berpuasa tanpa perlu ke kuliah. Memang janggal kerana seharian duduk di asrama. Sekarang saya sudah dapat menyesuaikan diri dan seperti rakan lain, saya menggunakan peluang ini untuk mengulang kaji,” katanya.

Buat pertama kali juga pada tahun ini dia berbuka puasa di rumah sewa.

“Ini sesuatu yang baru kerana saya terpaksa memasak sendiri berbanding di asrama hanya perlu membeli makanan.

“Bukan tidak mahu membeli tapi masak beramai-ramai lebih seronok dan menjimatkan,” katanya.

Amirrul Ai’zat Adenan, 23, dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) berkata, Ramadan peluang untuk mengeratkan ukhuwah sesama rakan sama ada ketika bersahur atau berbuka puasa.

“Biasanya pada waktu sahur kami masak bersama. Kami juga berpeluang solat Subuh berjemaah selepas sahur dan inilah kesempatan untuk merapatkan ukhuwah selepas masing-masing sibuk pada hari lain,” katanya.

Dia berkata, jadual kuliahnya yang berjalan seperti biasa dianggap sebagai cabaran dan peluang untuknya bersabar selain meluangkan lebih masa untuk membaca al-Quran.

“Disebabkan tiada perubahan, aktiviti harian juga tidak terjejas, malah memberi peluang kepada saya menambah aktiviti lain seperti membaca al-Quran kerana dapat melangkaui waktu makan,” katanya.

Masa untuk mengulang kaji pelajaran juga tidak terjejas, namun waktunya perlu ditukar dari tengah malam kepada selepas sahur.

Menurutnya, disebabkan tidak berpeluang berpuasa dengan keluarga, kehadiran rakan di universiti menghilangkan sedikit rasa rindukan rumah.

“Semestinya pada bulan puasa saya rindukan masakan ibu tapi kerana belajar saya tidak dapat berpuasa dengan keluarga. Kehadiran rakan menjadi pengganti untuk menghilangkan kerinduan itu.

“Kadang-kala kami membeli juadah ringkas di bazar Ramadan dan berbuka di taman rekreasi sebelum ke masjid,” katanya.

Pelajar dari Nigeria, Adebayo Nurudeen Mayowa, 22, berkata walaupun Ramadan ini bukan kali pertama disambut di negara orang, perbezaan dan kelainan masih terasa.

“Di tempat asal saya pada bulan puasa kami adakan sistem komuniti dan bergilir-gilir menyediakan juadah sahur dan berbuka puasa.

“Namun di sini saya bersendirian dan semestinya tiada sistem sebegitu. Tentulah saya terasa sunyi dan rindu menyambut Ramadan di rumah,” katanya.

Adebayo berkata, dia cuba menyesuaikan diri di perantauan dengan bersahur dan iftar bersama pelajar luar negara lain.

“Pada Ramadan saya perbanyakkan membaca al-Quran untuk mengisi masa terluang ketika waktu rehat.

“Dari segi perbelanjaan ia tak berubah. Saya perlu berbelanja dengan bijak kerana tinggal berjauhan dengan keluarga.

“Biasanya saya jamah salad kentang, telur kentang dan makanan yang biasa saya makan di rumah untuk berbuka puasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 11:52 AM