MENJAMU orang berbuka puasa memupuk ikatan persaudaraan sesama umat Islam.
Mohd Shahrizal Nasir

Islam adalah agama yang mengutamakan silaturahim. Setiap umatnya adalah bersaudara antara satu sama lain sebagaimana firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara...” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Rasulullah SAW juga bersabda, mafhumnya: “Orang Mukmin bagi orang Mukmin yang lain itu laksana satu binaan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berada pada Ramadan yang mulia ini ketika kita sama-sama tidak makan dan minum dari pagi sampailah matahari terbenam, hubungan kita sudah tentu semakin akrab. Mengapa begitu? Sebabnya ialah:

l

Kita menjaga lidah

Puasa kita bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkannya. Kita juga dituntut agar menjaga lidah iaitu tidak bercakap kotor atau berkata kesat.

Begitu juga kita dilarang berdusta. Semua ini menjadi larangan Allah yang mempunyai kaitan dengan hubungan sesama manusia. Manusia tidak akan berdusta kepada dirinya sendiri, tetapi pendustaan berlaku dengan orang lain.

Hal inilah yang perlu dipelihara oleh setiap Muslim. Tutur kata palsu atau kotor boleh meleraikan ikatan persaudaraan sesama Muslim.

Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta malah mengamalkannya, maka Allah tidak menerima daripada rasa lapar dan haus yang ditanggung.” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menjelaskan puasa bagi orang yang masih berdusta dalam tutur katanya tidak akan diterima oleh Allah. Maka, puasanya menjadi sia-sia tanpa sebarang ganjaran pahala.

l

Menjamu orang berbuka

Hubungan sesama kita lebih erat dengan mengadakan jamuan berbuka. Tidak semestinya menjamu mereka di rumah kita. Mungkin kita boleh menghulurkan sumbangan melalui pihak masjid atau rumah anak yatim.

Pahala besar menanti kita yang sudi menginfakkan harta untuk menyediakan juadah berbuka orang berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Sesiapa memberi makan kepada orang yang puasa untuk berbuka, maka baginya pahala sebagaimana pahala orang berpuasa tanpa mengurangi pahalanya sedikit pun.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi)

Amalan ini menzahirkan betapa antara kita tidak menyisihkan saudara seagama yang berada dalam kesusahan. Rasa kasih terus tersemat dalam hati setiap Muslim hasil daripada anjuran ini.

l

Saling memperbaiki bacaan al-Quran

Pada Ramadan, ramai dalam kalangan kita menghidupkan sunah Rasulullah SAW iaitu tadarus al-Quran.

Tadarus ialah membaca al-Quran bersama orang lain dengan satu pihak membaca manakala satu pihak lagi mendengar dan menyemak bacaan.

Kita boleh manfaatkan landasan ini untuk memperbaiki bacaan al-Quran, sekali gus memupuk persefahaman antara satu sama lain.

Semoga Ramadan kali ini turut menyerlahkan lagi keutuhan hubungan persaudaraan sesama kita umat Islam.

Penulis ialah pensyarah UniSZA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 9:45 AM