Keadaan MPV Nissan Grand Livina yang terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan pembaca
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


Baling: Seorang lelaki dan penumpang wanita maut apabila kereta dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kemalangan di Jalan Baru Kulim-Baling berhadapan R&R Tawar, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 malam, mangsa dikenali Abdul Rahim Zakaria, 32, maut di tempat kejadian manakala penumpangnya dikenali sebagai Shahdiana Kamis, 30, beralamat di Bukit Mertajam meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Baling.

Dalam kemalangan itu, kereta Honda Civic dipandu mangsa dari Kulim ke Baling dipercayai bertembung dengan MPV Nissan Grand Livina dinaiki empat beranak dari arah bertentangan.

Difahamkan, pemandu MPV Md Nasir Saidin, 38, cedera ringan, manakala isterinya Noor Harani Hassan, 37, dan dua anak perempuan mereka berusia sembilan dan tujuh tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan melanggar bahagian hadapan sebelah kanan MPV berkenaan dari arah bertentangan.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Baling (HB) untuk bedah siasat.

"Polis masih menyiasat punca kejadian dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 9:39 AM