LEWANDOWSKI sandaran Poland robek gawang Ireland Utara.
Reuters

Nice: Poland perlu bijak mengawal rasa gugup dan tidak gopoh ketika membuka kempen Euro 2016 menentang Ireland Utara yang bersedia memberikan tentangan hebat.

Aksi Kumpulan C esok bakal mempertemukan pasukan paling hebat menyerang dalam kalangan 24 pasukan Euro 2016 menentang pencabar yang sanggup melakukan apa saja untuk menyekat lawan.

Diperkuatkan dengan gandingan penyerang Robert Lewandowski dan Arkadiusz Milik, Poland memiliki rekod jaringan terbanyak pada pusingan kelayakan dengan 33 gol dan 13 daripadanya disumbangkan bintang Bayern Munich Lewandowski.

Jurulatih Adam Nawalka berjaya menukar permainan pasukan itu daripada hanya melakukan serangan balas pantas kepada pasukan yang mengawal permainan dan mengatur serangan dengan berhati-hati.

Beliau juga menukar cara permainan seorang atau tanpa penyerang untuk memberi lebih sokongan kepada Lewandowski dan taktik itu dilihat berkesan setakat ini.

Bagaimanapun, situasi sebenar yang perlu dihadapi adalah tekanan penyokong yang mahukan Poland melepasi halangan peringkat kumpulan Euro buat kali pertama dan Ireland Utara pasukan yang boleh menguji kebimbangan itu.

Ireland Utara kekurangan sumber, tetapi pengurus Michael O’Neill tahu apa yang mereka perlu lakukan dan tidak peduli dengan gaya permainan mereka yang bakal menguji ketahanan penyokong serta pasukan lawan.

“Kami perlu menjadi pasukan yang teruk untuk diatasi,” katanya. “Kami perlu bertindak bijak apabila tidak mengawal bola, banyak berlari berbanding pasukan lain. Penguasaan 65 peratus? Sudah tentu tidak.”

Ireland Utara yang akan membuat penampilan pertama di Euro memiliki 13 pemain yang beraksi dalam liga bawahan England, lima (Liga Perdana), empat (Liga Perdana Scotland) dan seorang (Liga Australia). Tiada seorang pemain mereka beraksi di benua Eropah.

Bagaimanapun, mereka hanya melepaskan lapan gol dalam pusingan kelayakan dan tidak tewas 12 perlawanan terakhir sejak Mac tahun lalu rekod paling lama dalam sejarah pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2016 @ 5:04 AM