LBS merangkul anugerah pemaju hartanah yang dipercayai.

Kuala Lumpur: LBS Bina Group Berhad (LBS) merangkul satu lagi anugerah sebagai pengiktirafan kepada reputasinya sebagai pemaju hartanah yang dipercayai di Anugerah The BrandLaureate BestBrands 2015/2016.

Pengarah Urusan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, pihaknya berazam membawa projek berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan rakyat Malaysia.

“Kami benar-benar berasa bangga menerima anugerah ini kerana inilah bukti kepada kerja keras dan dedikasi kami dalam memenuhi janji kami.

“Kami komited untuk terus membangunkan persekitaran mampan untuk kehidupan, bekerja dan beriadah,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Katanya, tahun lalu LBS telah melancarkan BSP21, projek pembangunan kediaman bertingkat tinggi yang menggabungkan pelbagai kemudahan berinspirasikan gaya hidup.

Terletak secara strategik dalam Bandar Saujana Putra, perbandaran yang memenangi anugerah, projek ini dibangunkan di atas tanah seluas 8.94 hektar dan menyediakan lebih daripada 70 kemudahan kecergasan serta rekreasi.

Projek BSP21, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.4 bilion, telah dibangunkan dengan mengambil kira keperluan golongan bujang dan keluarga baru. Kadar ambilan bagi lima blok BSP21 pada ketika ini adalah pada 94 peratus, serta lima blok tambahan yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan, menerima Anugerah BrandLaureate Most Valuable Brand bagi Industri Hartanah 2016 bagi pihak LBS.

Anugerah terbabit memberi pengiktirafan kepada jenama yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam kategori masing-masing. Penerima anugerah adalah peneraju pasaran dengan kehadiran antarabangsa dan memenuhi keperluan pengguna dengan produk dan perkhidmatan berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2016 @ 5:29 AM