FOTO Hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tanjung Genting, Mersing dekat sini, petang semalam.

Suspek berusia 24 tahun itu ditahan pada jam 2.30 petang oleh pasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan M Kumar berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas dua paket plastik mengandungi dadah disyaki heroin seberat 23.50 gram.

Beliau berkata, polis juga merampas satu paket lutsinar mengandungi dadah disyaki syabu seberat 3.70 gram.

"Semua barangan itu ditemui dalam kotak rokok yang disimpan dalam beg sandang milik suspek.

"Nilai semua rampasan dadah itu juga dianggarkan kira-kira RM1,800 dan dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan atau kegunaan penagih dadah di kawasan Mersing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 2:37 PM