Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) mahu meningkatkan penguasaan pasaran kenderaan segmen C jenama berkenaan dengan menyasarkan jualan 1,200 unit sebulan bagi model baharu Honda Civic generasi ke-10.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Katsuto Hayashi berkata, sebelum ini, pasaran segmen C menyaksikan penurunan sebanyak 19 peratus dan yakin bahawa kehadiran Honda Civic baharu mampu memulihkannya.

Menurutnya, Honda Civic sudah terjual melebihi 80,000 unit sejak diperkenalkan pada 2001 di negara ini dan menjadi satu model penting buat syarikat.

“Sejak 1 Mei lalu, pihaknya menerima tempahan melebihi 1,100 unit Honda Civic baharu dan kami menerima maklum balas positif daripada media dan orang ramai.

“Kami yakin bahawa Civic baharu bukan sahaja berpegang kepada namanya, malah menjadi pengubah dalam segmen C menerusi rekaan bergaya, rangkaian kuasa dan ciri termaju yang mendahului kelasnya,” katanya ketika melancarkan Honda Civic baharu di sini, semalam.

Hadir sama, Pembantu Ketua Projek Honda Civic baharu, Osamu Takezawa; Presiden dan Ketua Pegawai Operasi HMSB, Roslan Abdullah serta Naib Presiden Kumpulan HMSB, Akkbar Danial.

Sementara itu Hayashi berkata, Honda Civic baharu ditawarkan enjin 1.5 liter VTEC pengecas turbo yang pertama dalam segmen C untuk memberi keseronokan pemanduan, prestasi dinamik dan jimat minyak.

Menurutnya, selain enjin 1.5L VTEC pengecas turbo, Honda memperkenalkan rangkaian kuasa 1.8L i-VTEC di mana kedua-duanya dipadankan dengan kotak gear CVT.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 7:19 AM
ROSLAN (dua dari kiri), CEO Honda Malaysia Sdn Bhd, Katsuto Hayashi serta Osamu ketika majlis pelancaran Honda Civic di KLCC.