Mayat tekong pukat tunda yang dipercayai meninggal dunia akibat sakit jantung dekat pantai Parit Jawa, dibawa ke Pengkalan APMM Batu Pahat. - Foto IBRAHIM ISA
BERNAMA

Muar: Seorang tekong bot pukat tunda meninggal dunia dipercayai akibat serangan sakit jantung ketika cuba melarikan diri daripada enam bot nelayan, berhampiran pantai Parit Jawa, dekat sini, tengah hari tadi.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Muar Zainal Ab Jalil berkata, sekumpulan nelayan terserempak dengan bot berkenaan yang disyaki menceroboh kawasan tidak dibenarkan bot pukat tunda lalu menghubungi pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Pantai Parit Jawa bagi mendapatkan bantuan.

Menurutnya, enam bot nelayan itu yang membawa kira-kira 20 nelayan bertindak menghampiri bot pukat tunda terbabit yang ketika itu berada sembilan batu nautika dari pantai Parit Jawa, untuk meminta mereka keluar dari kawasan itu.

"Bagaimanapun, tekong bot pukat tunda yang berumur 40-an tiba-tiba rebah menyebabkan empat awak-awak botnya meminta bantuan nelayan itu," katanya di sini, hari ini.

Zainal berkata, pihaknya kemudian menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan lanjut yang tiba di tempat kejadian pada 2

petang.

Ketua Penguatkuasa APMM Batu Pahat Leftenan Komander Maritim Muhammad Zulkarnain Abdullah yang mengesahkan kejadian, berkata semua empat

awak-awak warga asing berusia antara 20-an hingga 40-an itu dibawa ke pejabat APMM Batu Pahat untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, mayat tekong warga tempatan itu dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

"Hasil siasatan awal, kami percaya tekong berkenaan meninggal dunia akibat sakit jantung. Bagaimanapun, kami perlu menunggu keputusan bedah siasat untuk

mengetahui punca kematiannya," katanya.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Din Ahmad juga mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada APMM Batu Pahat pada 2.42 petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 12:21 AM