Pokok tumbang akibat angin kencang dibawa Taufan Vongfong.

Tokyo: Taufan kuat kedua yang membadai Jepun dalam tempoh seminggu semalam membawa hujan lebat dan angin kencang ke Okinawa dan menuju ke pulau bersebelahan, Kyushu.

Sekurang-kurangnya 35 orang dilaporkan cedera di Okinawa dan Kyushu di mana pihak berkuasa mengarahkan 150,000 orang dipindahkan. Taufan itu mengakibatkan pokok tumbang dan banjir kilat selain menyebabkan 60,000 rumah terputus bekalan elektrik.

Taufan Vongfong yang membawa angin kencang sehingga 180 kilometer sejam dijangka membadai Kyushu hari ini.

Agensi Kaji Cuaca Jepun berkata, taufan itu mungkin melanda Tokyo esok dan akan reda semakin ia bergerak ke kepulauan di utara negara itu.

Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran tanah runtuh manakala angin kencang mengakibatkan kerosakan kabel elektrik seterusnya menyebabkan gangguan singkat terhadap sistem kereta api berkelajuan tinggi untuk beberapa jam di Kyushu.

Sebelum ini, taufan yang melanda Jepun minggu lalu mengakibatkan kematian tiga anggota tentera udara Amerika Syarikat (AS) di Okinawa yang menjadi pangkalan kira-kira 50,000 tentera AS.

Sehubungan itu, tentera AS mengarahkan anggotanya dan keluarga mereka supaya tidak keluar dari rumah sehingga angin dan hujan dibawa taufan Vongfong reda. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:06 AM