BERNAMA

Kulai: pengawal keselamatan yang memukul dan mengurung isterinya didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas didapati bersalah sengaja mencederakan mangsa antara Mei tahun lalu, hingga Februari tahun ini.

Majistret Ahmad Farid Ahmad Kamal menjatuhkan hukuman itu selepas Jefrie Mohd Arif, 39, mengaku bersalah bagi pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, Jefrie mula mengurung dan memukul isterinya di tangan, kaki dan kepala sejak Mei tahun lalu, di rumah mereka di Taman Senai Baru di sini selepas tercetus perselisihan faham antara mereka.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Prosiding hari ini tidak dihadiri isteri tertuduh namun dalam surat Penyataan Impak Mangsa (Seksyen 183A Kanun Prosedur Jenayah) wanita itu berkata, beliau berharap hukuman terhadap suaminya itu akan menjadi pengajaran.

"Saya akan meneruskan kerja menyara kehidupan serta anak dan mungkin saya akan membuat proses perceraian melalui mahkamah dengan nasihat Jabatan Agama Islam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 8:57 PM