MEMASANG khemah bersama anak-anak saat yang cukup berharga.
KEDAMAIAN alam semula jadi yang mengujakan.
PERKHEMAHAN di Tadom Hill Resort. - Gambar TadomHillResorts.com
PERCUTIAN keluarga sesuatu yang cukup berharga.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Suasana hijau dengan bunyi kicauan sang burung cukup mengujakan. Keriangan dan keletah anak-anak kecil berlari berkejaran di kawasan sekitar membuatkan si ibu dan bapa turut tumpang gembira.

Tatkala bapa sibuk mendirikan khemah yang akan menjadi tempat berteduh pada malam nanti, si ibu pula membuat persiapan untuk berbeku bersama seisi keluarga.

Saat matahari mulai tergelincir, unggun api yang dinyalakan menerangi kawasan. Sambil menikmati hidangan pada kesamaran malam, ketenangan dan keseronokan dirasai sukar digambarkan dengan kata-kata.

Unggas yang mengeluarkan pelbagai irama ibarat konsert alam semula jadi yang cukup mendamaikan.

Itulah yang pastinya dirasai saat anda berkhemah bersama keluarga di dalam hutan hujan Malaysia yang cukup indah ini.

Berkhemah bersama keluarga bukan antara senarai idea percutian yang akan dipaparkan saat mencari lokasi percutian bersama keluarga di Internet.

Apa yang dipaparkan hanyalah percutian di hotel mewah, chalet, pulau ataupun di destinasi percutian keluarga di luar negara.

Namun, tidak ramai yang mengetahui, berkhemah bersama keluarga dan rakan di lokasi perkhemahan di negara ini sesuatu yang cukup menarik.

Selain dapat menikmati keindahan alam semula jadi, aktiviti berkhemah ini juga menjadi alternatif percutian keluarga.

Memang tiada katil empuk, pendingin hawa, bilik air selesa dan televisyen yang menayangkan rancangan menarik, tetapi kedamaian, ketenangan dan keakraban saat bercuti bersama keluarga menerusi aktiviti perkhemahan sesuatu yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.

Bagi yang sedang mencari lokasi perkhemahan seisi keluarga, lokasi perkhemahan keluarga di Malaysia yang disenaraikan SANTAI minggu ini mungkin boleh dipertimbangkan.

Sungai Chilling, Kuala Kubu Bharu, Selangor

Terletak 14 kilometer dari pekan Kuala Kubu Bharu, perkhemahan di Sungai Chilling cukup mengujakan. Menjadi satu daripada lokasi pelancongan menarik menerusi Santuari Ikan Kelah Sungai Chilling, lokasi yang dibuka kepada pelawat hanya pada Jumaat, Sabtu dan Ahad ini sememangnya lokasi sesuai untuk percutian keluarga.

Di sini, selain tapak perkhemahan, kemudahan lain disediakan ialah tandas, surau, wakaf dan kaunter pendaftaran.

Dijaga Jabatan Perikanan, bayaran deposit minimum RM150 sekumpulan dikenakan bagi anda yang ingin berkhemah. Deposit itu bertujuan memastikan kebersihan tapak perkhemahan tetap terpelihara.

Selain menikmati kedamaian dan kehijauan alam semula jadi, mandi sungai aktiviti yang nyata menggembirakan seisi keluarga.

Lata Belatan

Terletak di daerah Besut, Terengganu, berkhemah di sini mungkin akan memberi pengalaman menyeronokkan.

Mana tidaknya, dengan tapak perkhemahan yang bersih, air sungainya yang jernih pasti memeriahkan lagi aktiviti mandi sungai seisi keluarga.

Bagi yang sukakan aktiviti lasak, mendaki Gunung Tebu antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini.

Terletak 24 kilometer dari bandar Jertih melalui Jalan Kuala Terengganu- Jertih, Hutan Lipur Lata Belatan di dalam Hutan Simpan Gunung Tebu yang juga hutan dipterokarpa bukit dan konifer.

Ingin berkhemah di sini? Anda perlu merujuk kepada Unit Hutan Lipur dan Rekreasi, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.

Sungai Pauh, Cameron Highlands

Terletak dua kilometer dari pekan Tanah Rata, berkhemah di Sungai Pauh yang cukup dingin pasti mencabar.

Dipenuhi pokok jenis acalaytous, kawasan perkhemahan yang ditadbir Pejabat Hutan Kecil Cameron Highlands lokasi tapak perkhemahan bagi aktiviti keluarga yang cukup mengujakan.

Mana tidaknya, dengan kehijauan alam semula jadi di tanah tinggi, kepelbagaian kemudahan seperti tapak perkhemahan, surau , tandas berasingan jantina, pondok berbeku, pentas aktiviti, pondok rehat dan alur Sungai Pauh yang kecil dan selamat.

Bagi yang berminat berkhemah di sini, pihak yang perlu dihubungi ialah Jabatan Perhutanan Daerah Raub dan Cameron Highlands.

Caj tapak perkhemahan antara RM3 hingga RM5 seorang sekali masuk iaitu anda boleh berkhemah dengan hanya sekali bayaran tetapi dengan khemah sendiri. Jika ingin menggunakan bekalan elektrik, anda boleh mendapatkan kadar bayarannya daripada Pejabat Hutan.

Teluk KeKe Campsite, Pulau Perhentian

Lari daripada kebiasaan berkhemah di hutan, Teluk KK Campsite lokasi perkhemahan di pulau yang menyajikan keseronokan tersendiri.

Terletak di Pulau Perhentian, lokasi perkhemahan ini menawarkan percutian perkhemahan keluarga yang mengujakan. Mana tidaknya, beralaskan pasir pantai yang memutih dan suasana mendamaikan dengan laut yang membiru nyata mengagumkan.

Selain merasai keseronokan berkhemah, pengalaman menaiki bot laju, berenang di laut bila-bila masa, snorkeling mengintai ikan berwarna-warni, terumbu karang yang cantik dan banyak lagi tarikan menjadi habuan buat anda yang berkhemah di sini.

Aktiviti lain seperti berkayak juga disediakan dengan bayaran yang berpatutan selain laluan hutan yang tidak begitu memenatkan.

Ingin merasai sendiri kesejukan mata air terkenal dalam kalangan pelancong dan pelayar di Telaga Air Berani? Di sinilah tempatnya.

Tadom Hill Resort

Bagi yang inginkan perkhemahan mewah atau ‘glamour camping’, Tadom Hill Resort antara lokasinya.

Dikelilingi alam semula jadi, ia terletak di Bukit Tadom, Kampung Labohan Dagang, Banting. Hanya mengambil masa perjalanan 45 minit dari Kuala Lumpur, ia antara destinasi percutian keluarga yang mengujakan.

Memberi pelbagai pilihan penginapan, Tadom juga lokasi terbaik untuk berkhemah.

Antara aktiviti yang menarik di sini ialah mandi-manda di tasik biru dan banyak lagi.

Suasana yang damai juga nyata memberikan keseronokan saat berkhemah di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 12:46 PM