Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Biar apapun keputusan atlet, hormati pilihan mereka,” kata bekas atlet dan juga jurulatih pecut negara, Nazmizan Mohamad (gambar).

Nazmizan berkata, tidak wajar untuk mendesak atlet memilih Kejohanan Remaja Dunia yang akan berlangsung di Bydgosszcz, Poland dari 19 hingga 24 Julai ketika tarikh itu bertindan dengan temasya Sukan Malaysia (SUKMA).

Secara peribadi dan juga pengalaman sebagai seorang atlet, kebanyakan atlet sudah merangka strategi dan merangka latihan masing-masing sejak dari awal.

Justeru jika dipaksa mengubah perancangan itu, beliau bimbang fokus latihan atlet akan terganggu.

“Kita perlu menghormati keputusan mereka. Mereka juga mahu berbakti kepada negeri masing-masing. Tambahan pula pastinya setiap negeri akan memberi insentif kepada atlet seandainya mereka berjaya meraih pingat di SUKMA.

“Jika kita desak mereka dan prestasi pula tidak memberangsangkan, adalah satu kerugian besar seandainya memilih untuk ke Kejohanan Remaja Dunia itu,” katanya.

Katanya, SUKMA adalah kejohanan di mana setiap atlet akan mewakili negeri masing-masing dan ini masa yang tepat buat atlet membalas jasa negeri selepas banyak melabur demi kepentingan atlet itu.

Justeru Nazmizan menyokong tindakan jurulatih Mohd Poad Md Kassim yang tetap tegas dengan keputusannya untuk menghantar Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan ke SUKMA dan menolak untuk menyertai Kejohanan Remaja Dunia itu.

Bagaimanapun pandangan berbeza disuarakan ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas yang menyatakan satu kerugian besar seandainya atlet menolak untuk menyertai Kejohanan Remaja Dunia itu.

Sehingga kini seramai empat atlet sudah melepasi syarat kelayakan membabitkan Badrul dan Khairul dalam acara 100 meter, Mohd Riz
zua Haizad (110m lari berpagar) dan R Kirthana (lompat kijang wanita).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 9:36 AM