PEGAWAI kanan tentera Filipina berbual dengan Lorenzo di sebuah hospital di bandar Zamboanga, semalam.

Jolo: Seorang lelaki Switzerland yang diculik anggota militan di selatan Filipina kira-kira tiga tahun lalu diselamatkan dalam pertempuran antara tentera dan penculiknya, semalam.

Jurucakap tentera, Kolonel Restituto Padilla berkata, Lorenzo Vinciguerra melarikan diri dari militan Abu Sayyaf ketika pertempuran di Pulau Jolo dan diselamatkan pihak tentera.

“Dia mendapat peluang melarikan diri ketika pertempuran meletus,” kata Padilla.

Duta Switzerland ke Filipina, Ivo Sieber mengesahkan Vinciguerra dalam keadaan selamat dan kini dirawat di sebuah hospital tentera di Zamboanga kerana cedera ketika menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, pihak tentera berkata, seorang lagi warga Belanda yang diculik bersama-sama Vinciguerra, Ewold Horn, gagal diselamatkan dan tiada maklumat mengenai keadaannya.

Vinciguerra dan Horn menyertai ekspedisi merakam gambar spesies burung yang jarang ditemui di Pulau Tawi-Tawi di selatan Filipina apabila mereka diculik sekumpulan lelaki bersenjata sebelum diserahkan kepada Abu Sayyaf.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 5:02 AM