Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity) bersedia membantu pihak berkuasa tempatan dan luar negara untuk menjalankan siasatan berhubung kes pedofilia yang membabitkan warga British Richard Huckle.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan menyediakan kepakaran teknikal berkaitan keselamatan siber terutama dalam bidang forensik.

"Ia bagi membolehkan kami membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung kes ini dan kes seumpamanya pada masa depan.

"CyberSecurity adalah agensi pakar keselamatan siber negara yang mempunyai kepakaran dalam bidang forensik digital, dan kemudahan makmal digitalnya dilengkapi peralatan dan perisian forensik digital terkini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Malah, Madius berkata, ia juga diiktiraf di bawah Bukti Multimedia dan Digital (Digital & Multimedia Evidence) berdasarkan standard ISO/IEC 17025:2005 serta turut mendapat pengiktirafan dari American Society of Crime Laboratory Directors/Laboratory Accreditation Board (ASCLD/LAB).

Madius berkata, juruanalisis forensik digital di CyberSecurity juga diwartakan dalam Kanun Tatacara Jenayah Malaysia 399 sebagai golongan pakar, dan laporan serta testimoni dari mereka diterima pakai dalam perbicaraan di semua mahkamah di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 8:43 PM