Ratu Dangdut beraksi pada Konsert Karnival HM Padat 2014.
Oleh Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Selepas 15 tahun, rindu peminat Amelina bakal terubat apabila Ratu Dangdut Malaysia ini akan menggegarkan Konsert Karnival HM Padat 2014 di perkarangan Stadium Malawati, Shah Alam, malam ini.

Lebih menarik, ini kali pertama anak jati Negeri Sembilan itu membuat persembahan berskala besar bersama barisan artis terkenal lain.

Ketika dihubungi SELEBRITI, Amelina melafazkan rasa syukur apabila kemunculan semula­nya mendapat sokongan ­banyak pihak.

"Sejak berita saya akan kembali ke persada seni tanah air tersebar, satu demi satu tajaan mula masuk sebagai tanda sokongan.

"Antara yang sudi, fesyen Zery Zambri yang akan menaja baju persembahan saya malam ini," katanya riang.

Jelas Amelina lagi, sebagai tanda kasih kepada peminat dia akan mendendangkan tiga lagu, termasuk single terbaru yang dirakam semula berjudul Rindu Ah Ah ciptaan Ajai.

Dangdut yang diketengahkan kali berbeza daripada yang pernah dibawanya dulu, malah ia disesuaikan mengikut peredaran zaman dan ada suntikan elemen pop supaya lebih segar.

Berbicara soal persediaan, Amelina berkata, dia sudah melakukan apa yang sepatutnya tetapi tetap berasa gementar kerana sudah lama tidak menyanyi di depan peminat.

"Persiapan biasa-biasa saja. Luar mungkin nampak saya tenang tetapi dalam hati, Tuhan saja tahu betapa gementarnya saya.

"Apatah lagi ini kemunculan pertama saya selepas sekian lama menyepi, pasti ada yang meragui kemampuan saya. Insya-Allah saya akan buat yang terbaik dan percaya rasa gementar akan hilang sebaik berada di pentas," katanya.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu duet Memori Daun Pisang bersama Iwan, Asyik dan Rindu Lagi turut berharap per­sembahannya mampu mengembalikan nostalgia lamanya bersama peminat.

Petang ini, Amelina akan menjayakan sesi bertemu peminat dan menjual koleksi CD lagu yang pernah melonjakkan namanya dulu di gerai yang disediakan.

Sesi itu dijangka bermula jam 2.30 hingga 4 petang dan ­turut diserikan dengan kehadiran ­artis rakaman Wake The Baby ­iaitu Syamin, Ajai dan protegenya, Fahmie yang juga perserta paling popular program Mentor, TV3.

Selain Amelina, Konsert Karnival HM Padat 2014 turut dihangatkan dengan persembahan band popular Indonesia, Nidji, manakala artis tempatan pula adalah Hyper Act, Ajai, Hazama, Kaka Azraff, Aweera, Fiq, Asmidar, Nuha dan Ewal (Akademi Fantasia 2014) serta pendatang baru, Syamin.

Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Datuk Mustapa Omar berkata, pengisian konsert ini bukan sekadar membariskan artis popular, malah menyediakan persembahan unik.

"Pada malam ini turut berlangsung perlawanan bola sepak antara Harimau Malaya dan Vietnam bagi merebut tempat ke final Piala AFF di Stadium Shah Alam, tetapi ia tidak menggugat pelaksanaan Konsert Karnival HM Padat 2014.

"Kami mengalu-alukan pe­nyokong pasukan negara membawa bersama keluarga yang tidak mempunyai tiket menonton perlawanan itu untuk memeriah­kan Konsert Karnival HM Padat 2014 yang diadakan secara percuma bagi menghargai pembaca Harian Metro.

"Suami menonton bola, isteri dan anak pula berhibur dengan persembahan artis terkenal, sekali gus menjadikan ia aktiviti malam minggu bermanfaat buat seisi keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 5:01 AM