AKIM dan Stacy pada majlis pelancaran minyak wangi Obsess.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Keterujaan menyambut Ramadan tahun ini jelas terpancar di wajah Akim Ahmad apabila pertama kali meraikannya sebagai suami kepada penyanyi Stacy.

Lebih bermakna Akim yang juga vokalis Akim & The Majistret akan menunaikan umrah bersama anggota kumpulan itu pada 22 Jun sehingga 4 Julai ini.

“Sebelum ini saya pernah ke Makkah bersama ibu bapa, tetapi tahun ini saya pergi dengan anggota Kumpulan Majistret pula. Insya-Allah kami akan ke sana selama dua minggu.

“Sudah lama kami niat mahu ke sana memandangkan rezeki sepanjang tahun lalu dan awal tahun ini tidak pernah putus. Lagipun, kami mahu keberkatan bulan mulia ini,” katanya.

Akim yang juga pelakon drama Kampung Girl reda apabila terpaksa meninggalkan isteri tercinta.

Keputusan itu buat selepas mengambil kira situasi Stacy yang baru memeluk Islam dan masih dalam proses mendalami agama.

“Saya bukan tidak mahu bawa Stacy bersama tetapi disebabkan dia baru lagi memeluk Islam jadi masih banyak yang perlu dipelajarinya. Saya tidak mahu terlalu membebankan dirinya untuk mempelajari semua perkara secara serentak.

“Kalau boleh biarlah dia belajar satu persatu. Bagi saya itu lebih baik dan selesa buatnya. Pada masa sama, dia juga boleh fokus terhadap apa yang dipelajari. Insya-Allah, kalau bacaan dan sebutan ayat suci al-Quran sudah lancar, kami akan pergi bersama nanti,” katanya.

Selain itu, Akim memaklumkan dia berkemungkinan besar akan menyambut Aidilfitri di Makkah selepas memutuskan untuk memanjangkan tempoh berada di sana.

Disebabkan itu, Stacy akan meraikan Aidilfitri di Johor bersama mentua.

“Sebagai isteri saya tidak boleh menghalang keputusan yang dibuat. Lagipun dia ke sana untuk beribadah, jadi tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Walaupun saya mengharapkan kami dapat beraya bersama, saya tidak ralat.

“Saya masih ada keluarga mentua dan akan beraya dengan mereka di Johor Bahru. Selepas itu, saya masih boleh meraikannya dengan suami,” kata Stacy.

Perkukuh jenama Kimcy

Selepas pasangan selebriti, Awal Ashaari dan Scha Alyahya yang menggelarkan diri mereka sebagai SchAwal menjadi tumpuan ramai, terbaru gabungan nama Akim dan Stacy iaitu Kimcy semakin dekat di hati peminat.

Lantas, populariti yang diraih selepas berumah tangga dimanfaatkan sebaik mungkin untuk melebarkan sayap dalam bidang perniagaan.

Pelancaran koleksi minyak wangi Obsess yang didatangkan dalam dua wangian khas untuk lelaki dan wanita bukti kesungguhan mereka dalam bidang itu.

“Selepas berkahwin kami sudah ada komitmen dan tanggungjawab lain. Jadi kami perlu fokus dalam setiap perkara yang dilakukan. Berbeza ketika masih bujang, kami mentah dalam banyak perkara kerana tidak ada sasaran tertentu.

“Apabila hidup bersama, banyak urusan jadi lebih mudah. Setiap apa yang dirancang kami akan berbincang sebaik-baiknya. Hasilnya sangat memberangsangkan. Alhamdulillah, kami mengorak langkah dalam bidang perniagaan pula.

“Bagi saya apa yang kami buat ini bukan kerana populariti semata-mata, sebaliknya minat mendalam. Selama ini kami mengumpul duit hasil menyanyi tetapi tidak ada sebarang perancangan. Sekurang-kurangnya perniagaan ini menjadi aset masa depan kami,” kata Akim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 8:18 AM