KAMIL berbual dengan wartawan.
Oleh Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Seperti Ketua Pengarah Pengarah FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasio­nal Malaysia) terdahulu, Datuk Kamil Othman juga mempunyai misi dan visi sendiri.

Malah, ketika pertemuan dengan KP FINAS baru itu pada sesi ramah mesra bersama media di sebuah hotel terkemuka, Selasa lalu, Kamil dilihat meng­gunakan pendekatan lebih mesra.

Pada sesi yang berlangsung hampir dua setengah jam, Kamil yang sebelum ini memegang jawatan Naib Presiden Bahagian Kandungan Multimedia Kreatif, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC) menggariskan beberapa perkara.

"Pada masa ini FINAS akan memberi tumpuan kepada tiga sudut utama iaitu melihat seberapa banyak judul filem yang boleh dieksport, pembangunan modal insan dan memperkenalkan fasiliti kita kepada pihak luar.

"Kami mahu memastikan pekerjaan datang kepada kita dan ­dengan adanya beberapa insentif yang diperkenalkan, contohnya Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI), dapat menarik banyak lagi produksi luar datang ke Malaysia.

"Kita juga nampak kebanya­kan pekerja filem, terutama DOP (pengarah fotografi) atau ­pelakon lagak ngeri tempatan tidak mempunyai jaminan khusus.

"Di Malaysia, belum ada pekerja filem yang melakukan kerja secara sepenuh masa atau separuh masa. Semua ­bergantung kepada produksi," katanya yang mahu mempercepatkan usaha mewujudkan undang-undang persatuan (guild law) yang boleh diguna pakai pada pering­kat industri kreatif.

Apabila diperkemas, taraf pekerja filem akan dinaikkan melalui perakuan tertentu yang boleh diguna pakai jika bekerja di luar negara.

Berbicara lanjut mengenai ­judul filem, Kamil sedar ­produksi tempatan menghasilkan banyak karya tapi kebanya­kannya untuk kandu­ngan tempatan.

Hanya enam judul filem mencecah 300 peratus pula­ngan, manakala 55 peratus lagi langsung tidak buat duit. Lebih menyedihkan, sebahagian besar daripada judul itu tidak layak dieksport ke luar negara.

"Saya tidak nafikan ­kebanyakan produser syok sendiri dalam menghasilkan judul filem. Oleh itu, untuk memastikan setiap judul ­mempunyai peluang keluar daripada kepompong, FINAS akan membabitkan diri dari peringkat pembikinan skrip lagi.

"Cuba lihat, cerita dari Asia mempunyai potensi besar ke pasaran luar tetapi kenapa kita tidak boleh? Buat masa ini, kita mahu mencari formula dan memberi tumpuan kepada penceritaan dan pihak produser.

"Produser adalah tauke yang membuat keputusan, kalau salah pertimbangan mereka sendiri yang rugi. Mereka kena faham dunia media baru yang sentiasa berubah, terutama dalam mencari pasaran baru," katanya.

Sebagai permulaan, FINAS akan menyediakan pusat ­'pitching' bagi membolehkan sesiapa saja mengetengahkan idea mulai ­bulan depan.

Malah, Finas akan lantik beberapa panel profesional, termasuk panel antarabangsa, untuk menilai dan memastikan setiap idea yang dicurah layak atau tidak menerima geran sedia ada.

Kamil turut mengakui bajet adalah isu lama yang perlu diperincikan semula kerana wujud ketirisan apabila sebuah produksi yang diberi geran tidak menggunakan sepenuhnya untuk pembangunan filem masing-masing.

"Selepas ini kita akan bahagikan dana kepada dua iaitu khusus untuk pembangunan (skrip dan idea) serta dana untuk produksi. Ini kerana, dari dulu saya lihat produser buat duit daripada produksi, bukan daripada produk.

"Bila keadaan itu berlaku, kualiti produk tidak dijaga ­dengan baik kerana duit dah dapat tapi produk 'cincai'. Itu yang berlaku pada banyak produk filem dan drama tempatan masa kini.

"Produser yang bijak boleh saja mendapat dana dari luar negara kalau betul-betul mahu menghasilkan karya bagus.

"Sebagai contoh, filem Lelaki Harapan Dunia (LHD) ­mendapat dana dari tujuh negara dan akhirnya diterima di kebanyakan festival filem antarabangsa," katanya memuji usaha pihak yang berfikir luar kotak.

Kamil juga menggalakkan penerbitan judul baru berkaitan kenegaraan kerana dari segi rujukan, Arkib Negara mempunyai bahan yang banyak.

Selain bercakap mengenai masa depan filem, Kamil ­mengadakan pertemuan ­dengan persatuan yang terbabit secara langsung dalam industri filem.

Ia bagi mencari penyelesaian secara berhemah, di mana pihaknya mendengar sendiri luahan pekerja industri filem tempatan.

"Setakat ini saya bertemu mereka dan dengar sendiri. Pertemuan akan diadakan dari semasa ke semasa, bukan saja dengan pekerja industri, malah pihak media untuk melihat sesuatu isu dari akar umbi.

"Saya juga mungkin meng­guna pakai cara pengurusan yang pernah saya lakukan dalam pembangunan industri animasi dulu untuk memajukan industri filem pula," katanya yang berjaya me­ngangkat industri animasi tempatan ke peringkat antarabangsa sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 5:00 AM