HEFNY tinggalkan HLive! untuk kendali program baru, Pop TV.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Program realiti pencarian pelapis pengacara, On Air empat tahun lalu mengubah kehidupan Hefny Sahad. Biarpun hanya meraih tempat kedua program yang diperkenalkan pengacara terkemuka Datuk Aznil Nawawi, kembara seni pemilik nama sebenar Mohamed Hefny Sahad, 28, berputar laju apabila dihujani tawaran dalam bidang pengacaraan dan lakonan.

Lebih menarik, karier anak jati Johor Bahru, Johor itu semakin kukuh selepas terbabit dalam program HLive!. Menerusi program berita itu bakatnya semakin berkembang dan mencuri tumpuan khalayak sehingga hari ini.

Terbaru, Hefny mengendalikan program baru Pop TV bersama Nana Mahazan di TV9 setiap Ahad, jam 9.30 sejak 17 April lalu.

Meskipun kontraknya belum tamat ketika itu, Hefny memilih untuk tinggalkan HLive! selepas setahun mengemudi program itu demi kelangsungan kariernya.

“Ikutkan kontrak saya bersama HLive! tamat pada awal Mei dan tidak bercadang menyambungnya kerana ingin bergerak sendiri serta menimba pengalaman baru dalam bidang pengacaraan di tempat lain.

“Tak sangka ketika menghadiri uji bakat program Pop TV pada Mac lalu, saya terpilih. Semuanya seperti diatur dengan baik. Alhamdulillah selepas berbincang dengan pengurusan, proses penamatan kontrak saya dipercepatkan dan saya meninggalkan HLive! secara baik,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 9:15 AM