Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di kaki lima hotel. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Lelaki maut dipercayai terjatuh dari tingkat lapan hotel di Batu 6 Jalan Pantai, di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson Deputi Superintendan Zainudin Ahmad berkata, mangsa ditemui mati tertiarap di kaki lima hotel itu, pada 8.45 malam.

Menurutnya, sebelum kejadian mangsa bersama dua rakannya dari Selangor, mendaftar masuk ke hotel itu kira-kira 2 petang semalam.

"Bagaimanapun, pada malam itu seorang rakan mangsa keluar bersiar-siar di kawasan hotel manakala seorang lagi rakannya mandi di bilik air. Rakannya yang sedang mandi keluar sebaik mendengar bunyi bising.

"Dia terkejut apabila mendapati rakannya tertiarap di kaki lima hotel lalu segera menghubungi pengurusan hotel untuk tindakan lanjut. Mangsa disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi.

Zainudin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 4:58 PM