Seorang daripada tiga lelaki yang ditahan disoal oleh Rahimin (dua dari kanan). FOTO Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

Melaka: Tiga lelaki berusia 40 hingga 60 tahun ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam Ops Ramadan di daerah Melaka Tengah dan Jasin, pagi tadi selepas didapati tidak berpuasa.

Operasi selama empat jam bermula jam 10 pagi itu, membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 53 tahun sedang leka menjamu sarapan menghisap rokok di sebuah premis menjual makanan bukan Islam, di Jalan Tun Ali, di sini, manakala dua lagi lelaki berusia 40 dan 60 tahun dicekup di Jasin.

Ketua Penguatkuasa JAIM Rahimin Bani berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit diberikan notis saman dan perlu hadir ke Pejabat JAIM bagi membantu siasatan mengikus Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana menjual makanan dan makan dalam bulan Ramadan.

"Jika sabit kesalahan, mereka yang dicekup tidak berpuasa ini boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan bagi kesalahan pertama manakala denda RM2,000 bagi kesalahan kedua.

"Malah mereka juga boleh dikenakan denda RM500 atau tiga bulan penjara kerana merokok atau menghisap tembakau," katanya selepas memeriksa 22 premis menjual makanan serta premis yang dikesan menjadi port ponteng puasa di sekitar negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau kegiatan ponteng puasa dan memberi amaran kepada pemilik premis yang menjual makanan kepada umat Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 4:48 PM