Trinh (tiga dari kanan) dan Badlisham (tiga dari kiri) memotong riben sempena ketibaan penerbangan sulung VietJet Air di KLIA.
Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my


Sepang: Vietjet, syarikat penerbangan persendirian dari Vietnam menjangkakan untuk mencapai jumlah penumpang dari Kuala Lumpur ke Ho Chi Minh City (HCM) mencecah 150,000 dalam tempoh setahun.

Naib Pengerusinya, Dr Nguyen Thanh Hung berkata, buat masa ini pihaknya menawarkan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke HCM hanya sekali setiap hari.

“Buat masa ini, penerbangan yang menghubungkan kedua-dua bandar ini hanya tujuh kali seminggu, namun kami meningkatkan kekerapan kepada dua kali setiap hari dalam masa terdekat.

“Dengan penambahan kekerapan penerbangan ini, kami yakin mencapai jumlah penumpang lebih tinggi dalam tempoh setahun beroperasi,” katanya pada majlis sambutan penerbangan sulung dari HCM ke Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Trinh Dinh Dung dan Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Datuk Badlisham Ghazali.

Menurutnya, walaupun berada di bawah kategori penerbangan tambang rendah, namun pihaknya memilih beroperasi di KLIA berbanding terminal KLIA2 kerana lebih yakin dengan operasi di terminal utama itu.

“Kami mendapati penumpang lebih selesa dan yakin dengan kualiti operasi di KLIA, malah ia lebih dikenali dalam kalangan pelancong asing,” katanya.

Menurutnya, sempena meraikan pelancaran laluan berkenaan, Vietjet menawarkan tiket percuma sebagai sebahagian promosi Inilah Masanya Untuk Vietjet.

Promosi bermula dari 31 Mei hingga 2 Jun lalu untuk tempoh perjalanan dari 15 Ogos hingga 31 Disember 2016, namun pihaknya menawarkan promosi berterusan di laman rasmi syarikat penerbangan itu.

Setakat ini, ia mengendalikan 36 pesawat termasuk Airbus A320 dan A321 dengan 250 penerbangan setiap hari.

Ia beroperasi di 50 laluan di Vietnam dan semua negara rantau ini ke destinasi antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 8:43 AM